Alumni    •    Vacancy

ZAKAT BANTU GOLONGAN MISKIN RAI AIDILFITRI

zakatUUM ONLINE: Zakat merupakan kefardhuan yang dituntut dalam Islam dan juga merupakan rukun Islam yang keempat bagi membantu golongan miskin.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, mengeluarkan zakat memberi dampak yang amat besar bagi melestarikan ekonomi umat Islam dan menjana pertumbuhan sektor berkenaan.

Di UUM, menurutnya, sumbangan zakat telah banyak membantu golongan pelajar yang kurang berkemampuan, lebih-lebih lagi pada zaman sekarang apabila semua perlu berhadapan dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup.

Katanya, sebagai umat Islam yang berkemampuan, zakat fitrah merupakan tanggungjawab yang menjadi kewajiban bagi semua orang yang diwajibkan membayarnya dengan kadar yang sangat minimum apabila tibanya bulan Ramadan sehinggalah ke pagi Syawal.

“Selain itu, dengan adanya zakat fitrah, golongan fakir dan miskin dapat bersama-sama bergembira merayakan Aidilfitri yang menjelang tiba. Tiada ucapan yang dapat menggambarkan kegembiraan mereka apabila dapat membeli makanan dan pakaian baharu, terutamanya bagi kanak-kanak, fakir miskin dan lain-lain.

"Oleh itu, saya menggesa semua kakitangan di UUM agar dapat mengeluarkan zakat fitrah kepada amil-amil yang bertauliah. Semoga amalan puasa kita menjadi sempurna dengan adanya zakat fitrah yang dikeluarkan nanti," katanya pada Majlis Pelancaran Kutipan Zakat Fitrah 1443 Hijrah Peringkat Universiti Utara Malaysia di EDC-UUM, tengah hari tadi.

Ujar beliau lagi, sejak penularan wabak Covid-19, kutipan zakat fitrah telah mengalami penyusutan yang agak ketara, walau bagaimanapun, diharapkan agar tahun ini kutipan jauh lebih baik dari tahun lalu memandangkan ekonomi semakin pulih, pergerakan juga semakin baik dan kemudahan diperluaskan dengan ciri bayaran atas talian (online).

Pada majlis itu, Naib Canselor turut membuat bayaran zakat fitrah kepada Pengarah Pusat Islam, Zar Ei Zakaria.