Alumni    •    Vacancy

UUM TIDAK PINGGIRKAN PELAJAR B40

b40UUM ONLINE: Universiti Utara Malaysia (UUM) amat mengambil berat tentang kebajikan pelajar khususnya dari golongan B40 bagi memastikan mereka mendapat peluang pendidikan yang menyeluruh dan lebih kondusif.

UUM menerusi Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) telah mengambil pelbagai inisiatif bagi membantu pelajar-pelajar dari golongan B40 ini agar mereka dapat meneruskan sesi pembelajaran dengan sempurna.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, kesejahteraan kebajikan merupakan antara misi JHEP untuk membasmi kemiskinan tegar dalam kalangan pelajar.

Menurutnya, pelbagai inisiatif telah dirangka JHEP melalui Bahagian Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar (SSSD) semasa tempoh pendemik Covid-19 antaranya mewujudkan Program Laptop 4 U yang bertujuan mengurangkan bebanan pelajar untuk meneruskan proses pembelajaran secara atas talian dalam norma baharu.

“Pada tahun ini, kita meneruskan usaha membantu pelajar-pelajar meneruskan pengajian di UUM secara inklusif dengan bantuan dan sumbangan yang diberikan termasuk menyediakan kemudahan yang kondusif untuk mereka.

“Sehingga kini pelbagai bentuk bantuan telah diberikan kepada pelajar seperti bantuan bencana alam, komputer riba, tablet, bantuan kesihatan, bantuan 'one-off' dan banyak lagi untuk pelajar agar mereka selesa dan dapat mengikuti sesi pembelajaran dengan lancar,” katanya.

Beliau berkata, UUM menerusi SSSD juga giat mencari bantuan sumbangan dalam kalangan penyumbang sama ada dalam bentuk tunai atau barangan.

Malah, menurutnya, hasil sumbangan diterima itu, UUM berjaya menyediakan sebanyak 347 unit komputer riba yang berjumlah RM657,000 untuk kegunaan pelajar berkeperluan.

Katanya, pihaknya kini bergiat aktif untuk melaksanakan siri ‘HEPA Reach Out’ dari semasa ke semasa bagi menyalurkan sumbangan bantuan komputer riba kepada pelajar B40 yang berkelayakan dan memenuhi syarat ditetapkan.

Sehubungan itu, UUM mengalu-alukan penyumbang untuk menggembleng tenaga bagi merancakkan misi sumbangan komputer riba ini kepada pelajar B40 dan B40 tegar di UUM.