Alumni    •    Vacancy

UUM TERIMA SERAHAN PROJEK BANGUNAN STHEM BERNILAI RM37.7 JUTA

bangunan sthemUUM ONLINE: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima serahan projek bangunan Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM) bernilai kira-kira RM37.7 juta daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia pada Majlis Penyerahan Projek Bangunan STHEM, hari ini.

Ketua Pengarah Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya Malaysia, Datuk Ir. Mohamad Zulkefly Sulaiman berkata, bangunan STHEM itu terdiri daripada satu blok yang dibina atas tapak seluas 10,000 meter persegi, lima aras yang memiliki komponen seperti restoran, dapur latihan, hotel 'mock-up room'  bertaraf empat bintang, dewan kuliah, kelas dan bilik pensyarah, di samping blok pentadbiran.

Menurutnya, projek yang bermula 2017 itu akhirnya dapat disiapkan setelah mengharungi segala cabaran dan rintangan terutamanya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan wabak Covid-19 pada 2020. 

Katanya, projek itu sepatutnya dijadualkan siap lebih awal, namun pandemik Covid-19 yang tidak dijangka serta kawalan yang dikuatkuasakan ketika itu menyebabkan projek ini terhenti seketika.

“Saya amat berbangga kerana hasil titik peluh JKR Kedah selaku Pegawai Penguasa yang dibina menggunakan Sistem Bangunan Berindustri (IBS) ini siap sepenuhnya pada 20 Februari 2022.

“Kejayaan projek ini juga bergantung kepada kerjasama antara JKR dengan pelbagai pihak termasuk Kementerian dan UUM agar projek dapat disiapkan dan diserahkan memenuhi aspirasi pihak terlibat,” katanya.

Tambah beliau, dengan siapnya bangunan STHEM itu, kakitangan STHEM dan warga UUM akan mendapat kemudahan tempat kerja yang kondusif serta memenuhi keperluan tugasan mereka.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, kerajaan sentiasa mengambil inisiatif bagi memastikan perkhidmatan dan fasiliti sektor pendidikan serta pengajian tinggi berada di tahap yang baik, justeru di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, UUM telah menerima peruntukan besar bagi Projek Pembinaan Bangunan STHEM. 

Menurutnya, sebagai pusat pengajian yang menawarkan program bersifat perkhidmatan, latihan amali perlu diberi kepada semua pelajar terlibat bagi memberikan pengalaman sebenar semasa bekerja atau membuka perniagaan berkaitan. Oleh yang demikian, kemudahan yang ada di bangunan baharu ini pastinya memberi manfaat yang besar bukan sahaja kepada pelajar malah tenaga pengajar.

Katanya, setiap ringgit yang diperuntukkan akan dipastikan digunakan dengan sebaik mungkin kerana di sinilah akan bergema suara pensyarah menyampaikan ilmu dan anak murid menimba ilmu, jadi pusat ini akan terus terbang tinggi dalam memantapkan industri pelancongan dan hospitaliti negara.

“Dengan dugaan yang dihadapi semasa Covid-19 kita dapat menempuh dengan sabar maka hari ini projek ini dapat disempurnakan JKR yang merupakan jabatan paling mulia masuk ke seluruh kampung agar rakyat dapat mengetahui makna pembangunan dan keselesaan.

“Dahulu, JKR yang menurap jalan, membina sekolah dan bangunan. Mereka adalah satu pasukan jentera yang hebat dalam membangunkan desa, justeru UUM berbesar hati menerima bangunan ini dan amat mempercayai kepakaran JKR,” katanya.

Pada majlis itu turut diadakan sesi menandatangani Dokumen Serahan Projek dan penyerahan replika kad akses bangunan STHEM antara kedua pihak.

Bangunan STHEM dijangka akan mula beroperasi sebelum penghujung tahun 2022.

Hadir sama, Setiausaha Bahagian Pembangunan, Kementerian Pengajian Tinggi, Azlinda Azman dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Kedah, Ibrahim Ahmad serta pegawai-pegawai kanan UUM.