Alumni    •    Vacancy

UUM RANGKUL ENAM ANUGERAH SENI MAKUM

makumUUM ONLINE: Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya merangkul enam anugerah sempena Anugerah Seni Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) 2021 yang diadakan secara maya menerusi Facebook rasmi MAKUM, baru-baru ini.

Enam anugerah tersebut ialah Anugerah Gamelan Emas MAKUM yang dianugerahkan kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Hendrik Lamsali merangkap Pengerusi MAKUM sesi 2020/2021.

Anugerah itu diberikan atas komitmen dalam sentiasa mencurahkan ilmu, idea dan tenaga demi kecemerlangan dan pembangunan MAKUM.

Anugerah seterusnya, Anugerah Gendang Sari MAKUM yang dianugerahkan kepada individu yang gigih meningkatkan mutu kecemerlangan MAKUM melalui sumbangan aktif dalam penganjuran dan penyelarasan semua aktiviti pembangunan pelajar dan memartabatkan warisan budaya bangsa.

Anugerah ini dianugerahkan kepada Pengarah Pusat Budaya dan Seni (PBS), Asmawiza Hussin dan Penolong Pengarah PBS, Mohammad Haris Abd Azis.

Turut dimenangi Anugerah Bonang Emas MAKUM oleh dua pelajar UUM iaitu Faisal Nahar dan Puteri Nor Syazwani Yahya di atas penglibatan aktif dalam aktiviti anjuran MAKUM.

Manakala Anugerah Gambang Mustika MAKUM dianugerahkan kepada Kelab Penyiaran dan Kelab Kesenian dan Kerohanian Islam.

Pemenang Anugerah Bonang Emas MAKUM yang juga pelajar Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan, Faisal Nahar berkata, penglibatan dalam kegiatan budaya dan seni menjadi sumber inspirasi dan kekuatan dalam mencapai kejayaan dalam kehidupan, malah ia menjadi nilai tambah dalam meningkatkan kemahiran insaniah.

“Penganugerahan ini bertujuan memberi penghargaan kepada mahasiswa yang secara konsisten dan komited melibatkan diri dalam kegiatan kebudayaan dan kesenian.

“Meskipun bergiat aktif dalam bidang kebudayaan dan kesenian, pembahagian masa haruslah bijak untuk menjamin kecemerlangan dalam pelajaran dan juga aktiviti-aktiviti yang lain” katanya.

Pelajar yang berasal dari Kuala Lumpur itu menyatakan bahawa dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai pelajar meskipun bergiat aktif dalam bidang kesenian dan kebudayaan itu.