Alumni    •    Vacancy

UUM RAIH EMAS ACARA BOLING PADANG PERSEORANGAN WANITA

emas boling padangUUM ONLINE: Negeri Sembilan – Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya membolot pingat emas bagi acara boling padang Perseorangan Wanita pada Kejohanan Lawn Bowls IPT 2022 yang berlangsung di Kompleks Sukan Lawn Bowls, Seremban 2, baru-baru ini.

UUM merangkul pingat emas menerusi atlet Nur Nadhirah Azmi yang telah menewaskan pesaing dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang juga pelapis pemain kebangsaan dengan skor 18-12.

Terdahulu di peringkat awal, menewaskan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) 18-12, seterusnya perlawanan kedua bertemu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan skor 21-11.

Nur Nadhirah layak ke suku akhir selepas menewaskan pemain dari Universiti Putra Malaysia (UPM) 18-15, diikuti menang tipis di peringkat separuh akhir apabila bertemu pelapis pemain kebangsaan juga wakil Universiti Teknologi MARA (UiTM) dengan mata 18-17.

Pelajar Semester 2, Sarjana Muda Pengurusan Teknologi itu berkata, dia gembira dan bersyukur kerana penyertaan julung kali mewakili UUM memberi tuah kepadanya dengan pingat kemenangan itu.

Menurutnya, kini dia sedang giat menjalani latihan di Perlis sebagai persediaan Sukan Malaysia (SUKMA) Edisi Ke-21 pada September nanti mewakili Perlis dan pada masa sama akan membawa nama universiti juga.

“Latihan saya setiap pagi dan petang Ahad dan saya berusaha untuk lebih kerap turun ke padang bagi menjalani latihan agar dapat meningkatkan lagi pencapaian diri bukan hanya untuk harumkan nama negeri kelahiran Perlis tetapi juga UUM,”

Mengulas lanjut penglibatannya dalam sukan boling padang, Nur Nadhirah yang merupakan atlet SUKMA Perlis berkata, dia mula terlibat dalam sukan boling padang sejak berusai 11 tahun, namun mula serius bermain ketika usia 13 tahun dengan bertanding di bawah Majlis Sukan Negeri Perlis mewakili SUKMA Perlis.

Tambahnya, menerusi sukan boling padang itu juga dia berjaya memperoleh pingat gangsa untuk acara sama bagi kategori wanita berpasangan pada SUKMA Perak 2018 dan peringkat tertinggi mewakili SUKMA Perlis ke Kejohanan International Mahsuri Cup di Langkawi.