Alumni    •    Vacancy

UUM PRIHATIN: STAF TERJEJAS AKIBAT COVID-19 AKAN DIBANTU

UUM ONLINE: Peningkatan jumlah kes Covid-19 di negara ini termasuk di negeri Kedah saban hari telah menyebabkan ada dalam kalangan staf di universiti ini yang terkesan akibat pandemik tersebut sehingga berdepan kesukaran menjalani kehidupan harian.

Sehubungan itu, Universiti Utara Malaysia (UUM) yang sentiasa prihatin dan cakna dengan kebajikan staf akan membantu meringankan beban mereka yang terkesan dengan jangkitan virus itu dan keperluan mendesak bagi mereka yang tinggal di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dengan menyampaikan sumbangan yang disalurkan terus ke dalam akaun staf terjejas memandangkan penghantaran secara bersemuka tidak dibenarkan bagi mematuhi SOP ditetapkan.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, bantuan yang akan disalurkan itu adalah bagi membantu staf universiti ini yang terjejas berikutan arahan dikeluarkan kerajaan dalam mencegah penularan Covid-19.

Menurutnya, sumbangan yang akan disalurkan itu akan menggunakan peruntukan disediakan pihak universiti.

“Saya berharap dengan adanya bantuan ini kelak dapat mengurangkan kerisauan staf kita yang tidak dapat keluar dari rumah untuk mendapatkan barang keperluan.

“Di samping itu, UUM juga telah mewujudkan pasukan ‘task force’ untuk membanteras penularan Covid-19, selain menyediakan khidmat kaunseling kepada mereka yang terkesan akibat pandemik ini,” katanya.

Pada masa sama, Naib Canselor menegaskan agar seluruh warga kampus dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dkeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), KKM dan pengurusan universiti dalam mencegah penularan Covid-19 ini demi kesejahteraan dan keselamatan bersama.

Baru-baru ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Dato' Seri Ismail Sabri telah mengisytiharkan PKPD selama 14 hari di sembilan lokaliti di Bandar Darulaman dan Lubuk Kawah, Jitra mulai 18 Mei serta 28 mukim di daerah Kota Setar bermula 19 Mei.

Pihak universiti turut mengalukan sumbangan daripada warga UUM dan orang ramai yang mana sumbangan boleh disalurkan ke Tabung Khas Covid-19 melalui UUM e-comm di https://e-comm.uum.edu.my atau pembayaran cek atas nama Universiti Utara Malaysia di Bank Islam Malaysia Berhad (0209-3010-0000-10).

prihatin