Alumni    •    Vacancy

UUM PERKENAL SISTEM e-KONVO GUNA TEKNOLOGI RFID

ekonvoUUM ONLINE: Buat julung kali sistem e-Konvo berasaskan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) diperkenalkan pada Majlis Konvokesyen Ke-33 Universiti Utara Malaysia (UUM) yang akan berlangsung selama seminggu mulai esok di Dewan Mu'adzam Shah.

Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, pengenalan sistem baharu itu adalah seiring dengan perkembangan teknologi semasa yang mana RFID tersebut mempunyai dua sistem utama iaitu Sistem Pengurusan Jubah dan Sistem Panggilan Nama Graduan.

Menurutnya, teknologi RFID itu menggunakan medan elektromagnetik frekuensi radio untuk memindahkan maklumat dari tag RFID ke pembaca RFID untuk tujuan pengenalan dapat digunakan dalam pelbagai aplikasi.

Katanya, penggunaan RFID ini juga dapat mengurangkan sentuhan dan interaksi secara langsung dalam jarak yang dekat antara graduan bagi membantu mengawal penularan Covid-19 sepanjang majlis berlangsung.

"Tag RFID bersaiz kecil yang mempunyai ketahanan yang tinggi dan dapat digunakan dalam jangka masa yang lama akan disematkan pada semua jubah graduan bagi membolehkan jubah yang disewa oleh graduan dapat dikesan oleh pengimbas semasa pengambilan dan pemulangan jubah.

"Dengan adanya teknologi ini, pengurusan jubah akan menjadi lebih cekap serta dapat menjana laporan inventori jubah dengan cepat dan efisien, manakala untuk sistem Panggilan Nama Graduan, tag RFID yang dilekatkan pada jubah graduan akan berfungsi dengan imbasan yang dikesan oleh pengimbas RFID dan nama graduan akan diumumkan secara automatik semasa graduan berada di pentas untuk mengambil skrol ijazah," katanya.

Prof. Dr. Haim Hilman berkata, beliau bangga kerana UUMIT mengambil inisiatif membangunkan teknologi tersebut yang akan digunakan buat pertama kali dalam majlis konvokesyen ini sebagai satu usaha universiti untuk mengawal penularan wabak Covid-19 dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurutnya, jika dulu menggunakan kad pintar (smart card) yang memerlukan petugas untuk menyentuh kad tersebut pada pengimbas tetapi teknologi RFID kini dapat mengurangkan proses kerja pelaksanaan majlis konvokesyen serta mengurangkan tenaga kerja staf yang terlibat, selain dapat mengurangkan risiko kehilangan jubah semasa proses pengambilan dan pemulangan jubah dan seterusnya meminimakan kesilapan mengumumkan identiti graduan semasa menerima ijazah.

Di samping itu, katanya, penggunaan teknologi baharu itu juga dapat mengurangkan risiko penularan Covid-19 yang mana semua jubah akan dimasukkan ke dalam plastik yang disediakan dan terus dihantar ke pusat cucian selepas sesi konvokesyen berakhir.