Alumni    •    Vacancy

UUM-PDRM GABUNG TENAGA KEPAKARAN NILAI KOMPETENSI JAWATAN STRATEGIK PDRM

pdrmUUM ONLINE: Kuala Lumpur – Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berkongsi kepakaran dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Program Penilaian Kompetensi Tingkah laku Kepimpinan dan Pengurusan PDRM yang diadakan di Maktab Polis Diraja Malaysia Kuala Lumpur, Cheras, baru-baru ini.

Program penilaian tersebut telah diketuai oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, manakala UUM diwakili Pasukan Penyelidik Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohd. Faizal Mohd. Isa.

Program itu adalah bagi menilai pegawai-pegawai berpangkat Deputi Komisioner Polis (DCP) untuk kenaikan ke pangkat Komisioner Polis (CP) dan pangkat Senior Asisten Komisioner (SAC) ke Deputi Komisioner Polis (DCP) yang di mana turut disertai Timbalan Ketua Polis Negara, Dato’ Razarudin Husain; Pengarah Pengurusan, Dato’ Zaini Jass dan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Dato’ Azri Ahmad.

Sementara ahli pasukan penyelidik lain dari UUM ialah Prof. Madya Dr. Wan Shakizah Wan Mohd. Noor, Prof. Madya Dr. Siti Zubaidah Othman, Prof. Madya Dr. Fadzli Shah Abd. Aziz dan Dr. Norizan Haji Azizan bagi memastikan kelancaran proses penilaian yang dirancang dan dibangunkan secara bersama dengan Bahagian Dasar Sumber Manusia PDRM, Bukit Aman.

Program penilaian ini merupakan sesi penilaian kedua yang dilalui oleh calon-calon setelah melalui fasa pertama bersama pakar penilai SBM pada November 2021.

Perkongsian kepakaran pasukan penyelidik SBM itu turut mendapat pengiktirafan Ketua Polis Negara di atas kerjasama dengan Bahagian Dasar Sumber Manusia PDRM bagi memantapkan dasar pembangunan sumber manusia dengan membangunkan sistem Penilaian Kompetensi Tingkah laku Kepimpinan dan Pengurusan PDRM.

Beliau berkata, jalinan kerjasama tersebut memberi impak besar kepada PDRM khususnya untuk pengurusan sumber manusia.

Menurutnya, banyak lagi kerjasama yang berpotensi dapat dijalankan antara PDRM-UUM bagi mencapai objektif yang ditetapkan.

Turut hadir Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan), Jabatan Pengurusan PDRM, Dato' Nerita Yaacob dan Timbalan Pengarah Pengurusan (Perkhidmatan dan Perjawatan), Jabatan Pengurusan PDRM, DCP, Puan Siti Mariam Salikin.