Alumni    •    Vacancy

UUM-ORPHEUS BAKAL PERKENAL ‘GAJINOW’ DAN ‘EDUNOW’

ocUUM ONLINE: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Uniutama Management Holdings Sdn. Bhd. (UMHSB) akan menjadi universiti pertama menggunakan produk kemudahan pembiayaan ‘GajiNow’ dan ‘EduNow’ yang dijangka dilancarkan pada tahun ini.

Ini adalah hasil pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara UMHSB dengan syarikat kewangan digital, Orpheus Capital Sdn. Bhd. (OC) yang berlangsung di Dewan Seri Angsana 2, EDC UUM, semalam.

Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, kerjasama dua entiti itu akan menggalakkan penggunaan teknologi dalam pengurusan kewangan yang dijangka memberi impak positif melalui pembiayaan kepada pembekal, pekerja, pelanggan dan pelajar terutamanya yang menghadapi masalah kewangan.

Menurutnya, ia adalah sebagai usaha menyokong aspirasi kerajaan untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 dan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital).

Katanya, pembiayaan itu akan membantu menyediakan platform digital yang lebih mudah dan cepat dalam pengurusan kewangan, secara tidak langsung meningkatkan taraf hidup rakyat melalui pertumbuhan ekonomi seimbang dan mampan berteraskan teknologi.

“Usaha sama ini juga dilihat dapat membantu pelajar yang menghadapi kekangan kewangan dan pada masa sama menerusi MoU ini juga UUM dapat merapatkan lagi hubungan antara industri, universiti dan syarikat tempatan.

“MoU hari ini (semalam) merupakan perintis ke arah kerjasama strategik antara UMHSB dan pihak industri bersifat menang-menang (win-win situation) dan saya berharap kerjasama ini lebih besar dan menyeluruh selain tawaran produk tetapi turut berkaitan literasi kewangan yang boleh dikembangkan kepada pelajar,” katanya.

Prof. Dr. Haim Hilman berkata, beliau mengucapkan syabas kepada UMHSB di atas inisiatif mengadakan kerjasama strategik dengan Orpheus Capital dalam usaha memperkasakan pengaplikasian teknologi dalam aspek pengurusan kewangan.

Menurutnya, semoga usaha yang dimulakan itu akan menjadi buah mulut masyarakat dan universiti-universiti lain dalam mengangkat UUM menjadi pemangkin kecemerlangan Kedah sebagai permata dunia.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif OC, Dato’ Badrul Hassan Mohamed Kassim berkata, UUM akan menjadi universiti pertama yang akan menggunakan dua produk tersebut sebaik sahaja proses akhir selesai dengan UMHSB.

Menurutnya, pihaknya menyediakan dana untuk ‘GajiNow’ dan 'EduNow' yang akan memudahkan staf dan pelajar UUM untuk mendapat kemudahan pembiayaan daripada OC pada kadar segera.

Katanya, untuk 'GajiNow' permohonan maksimum adalah sebanyak RM2,000, manakala 'EduNow' masih lagi di peringkat perbincangan jumlah yang akan dihadkan untuk permohonan.

"Proses pembiayaan ini hanya melalui teknologi sahaja tanpa menggunakan sebarang borang. Mereka hanya perlu hubungi OC dan wang tersebut akan dikreditkan ke dalam akaun bank masing-masing.

"Kami memilih UUM kerana melihat potensi yang terdapat di universiti ini seperti adanya kepakaran dalam pelbagai bidang seperti perniagaan dan pengurusan. Banyak yang boleh dibuat antara OC dan UUM bersama-sama dan pada masa sama kerjasama ini akan membantu merealisasikan hasrat UUM untuk menjadi kampus digital atau 'technology savvy'," katanya.

Sesi menandatangani MoU tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Kewangan UMHSB, Mohamad Rafi Kamis dan Pengarah Eksekutif OC, Muhammad Hamudi A. Khalid dengan disaksikan Naib Canselor dan juga Pengerusi Eksekutif OC.