Alumni    •    Vacancy

UUM MUNCUL JUARA, BAWA PULANG WANG TUNAI RM5,000

digital financeUUM ONLINE: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mencipta kejayaan demi kejayaan apabila muncul juara dalam pertandingan ‘Digital Financial Inclusion Challenge’ secara atas talian sekali gus membawa pulang wang tunai RM5,000, baru-baru ini.

UUM diwakili tiga pelajar dari Pusat Pengajian Perniagaan Islam iaitu Ahmad Bukhari Rahiman dan Muhammad Azamuddin Mohd Azahari yang merupakan pelajar Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam serta pelajar Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat, Wan Ain Adlina Che Wan Mansor.

Ketua kumpulan, Wan Ain Adlina berkata, pertandingan tersebut disertai enam pasukan dari enam institusi pengajian tinggi di Malaysia yang berjaya mara ke peringkat akhir.

Menurutnya, pertandingan itu merupakan program tahunan anjuran Arus Academy dengan kerjasama FWD Takaful bagi mencungkil kesedaran anak muda tentang kewangan yang inklusif kepada setiap lapisan masyarakat.

Katanya, pasukan UUM mempertaruhkan produk inovasi, 'Sempurna Apps' yang menekankan peluang dan hak kesamarataan kepada semua golongan dalam memastikan setiap lapisan masyarakat mendapatkan perlindungan kesihatan sebagai persediaan pada hari mendatang.

"Produk ini adalah perlindungan takaful yang berlandaskan syariah Islam dan terbuka kepada semua yang menumpukan kepada solusi tentang kesedaran kesihatan, kaedah penyampaian maklumat serta pelan perlindungan risiko bagi golongan berpendapatan rendah di Malaysia.

"Berbekalkan pengetahuan yang diperolehi sepanjang sesi kuliah berkaitan kewangan Islam, takaful serta pengurusan teknologi telah berjaya menawan hati juri,” katanya.

Tambahnya, pembentangan idea awal dibuat melalui rakaman video yang berdurasi selama 2 minit disusuli dengan soalan.

Wan Ain Adlina berkata, selama seminggu, peserta perlu mengikuti beberapa siri aktiviti yang telah ditetapkan termasuk menemuramah golongan sasar secara maya sebelum proses menghasilkan satu produk inovasi kewangan yang sesuai kepada setiap lapisan masyarakat termasuk golongan B40.

“Menyertai pertandingan ini mendorong kami untuk berfikir secara kreatif dan realistik serta perlu berusaha keras kerana kurangnya pengalaman dalam industri mujurlah bantuan daripada Mentor dan Fasilitator amat membantu. 

“Cabaran yang dihadapi ialah daya inovatif yang tinggi diperlukan dalam menghasilkan satu produk kewangan baharu dan menepati kehendak industri dan menampilkan keunikan di samping menyelami perasaan dan keadaan golongan B40 satu tugas yang mencabar kerana bimbang soalan yang diajukan menyinggung perasaan mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Muhammad Azamuddin berkata, aplikasi tersebut telah ditambah baik kaedah pembayarannya iaitu melalui Touch 'n Go, perbankan atas talian, potongan automatik, pembayaran melalui pejabat pos, kedai terpilih dan pembayaran menggunakan tambah nilai telefon.

Menurutnya, kepelbagaian kaedah pembayaran ini bertujuan untuk memperluaskan lagi jaringan pembayaran sehingga ke kawasan pedalaman, malah Sempurna Apps juga memberi peluang kepada pelanggan untuk menjana pendapatan menerusi FWD Affiliate. 

Manakala Ahmad Bukhari berkata, objektif pelaksanaan program ini ialah untuk menginovasikan sistem kewangan yang lebih kondusif kepada setiap lapisan masyarakat terutamanya dalam pelan perlindungan mikro takaful.

“Sebanyak 30 kumpulan menghantar penyertaan yang meliputi daripada pelajar universiti awam mahupun universiti swasta dan daripada jumlah itu, hanya enam pasukan sahaja yang mara ke peringkat akhir.

"Saya berharap penganjuran pertandingan seumpama ini akan memberi pengalaman berharga kepada para peserta serta membantu dalam meningkatkan sosio ekonomi dan kebajikan golongan berpendapatan rendah di Malaysia," katanya.