Alumni    •    Vacancy

UUM LANCAR TABUNG BENCANA BANJIR

tabung bencanaUUM ONLINE: Universiti Utara Malaysia (UUM) melancarkan Tabung Sumbangan Bencana Banjir Baling yang akan disalurkan kepada mangsa bagi meringankan beban mereka yang ditimpa musibah.

Tabung berkenaan dilancarkan oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah sempena Majlis Perjumpaan Naib Canselor Bersama Pensyarah Muda 2022, di Dewan Seminar A, Pusat Konvensyen, baru-baru ini.

“Tragedi banjir terburuk yang melanda Baling sehingga mengorbankan nyawa dan harta benda dalam sekelip mata cukup menyayat hati dan mengundang simpati rakyat Malaysia.

“Oleh itu, pelancaran tabung kutipan berkenaan amat tepat pada masanya sebagai menyatakan sokongan dan simpati UUM kepada mangsa yang terlibat,” katanya.

Beliau berharap tabung ini akan membantu mangsa yang terjejas teruk dan sedikit sebanyak mengurangkan kesedihan mangsa yang kehilangan segala-galanya seperti kediaman, kenderaan malah nyawa.

“UUM sentiasa prihatin justeru seramai 100 sukarelawan universiti ini telah digerakkan ke Baling untuk membantu mangsa yang terkesan setelah berdepan tragedi yang menyayat hati ini,” katanya.

UUM turut mengalu-alukan sumbangan daripada masyarakat dan warga kampus yang boleh disalurkan menerusi Tabung Bantuan Bencana Banjir Daerah Baling ke Bank Islam Malaysia Berhad, 0209-3010-0000-10 atau melalui cek atas nama Universiti Utara Malaysia, Bank Islam Malaysia Berhad.

Sementara itu, Ketua Misi Bantuan Banjir di Baling, Ahmad Hu’ali Roseli berkata, sukarelawan yang terdiri daripada 90 pelajar dan 10 staf turun padang menabur bakti kepada masyarakat dengan menyertai misi bantuan ini.

“Tragedi banjir yang meragut nyawa itu amat menyedihkan sehingga menyebabkan ramai kehilangan harta benda bak kata pepatah, berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.

“Atas kesedaran ini kami terpanggil untuk menyertai misi selama 3 hari yang bertujuan membersihkan kawasan yang terjejas akibat banjir di Pekan Kupang, Kampung Iboi, Kampung Hangus, Kampung Sadek dan Kampung Pisang.

“Selain kerja pembersihan, kami juga menghulurkan bantuan seperti barangan keperluan asas dan kelengkapan harian bagi meringankan bebanan yang ditanggung mangsa banjir terlibat selain intervensi krisis bagi menenangkan keadaan mangsa,” ujarnya yang juga Pelajar Sarjana Muda Pengurusan Acara. 

Beliau berharap misi bantuan ini berupaya melahirkan mahasiswa yang tinggi semangat kesukarelawan sekali gus menjadikan UUM sentiasa dekat dengan masyarakat.