Alumni    •    Vacancy

UUM KONGSI REZEKI BERSAMA ASNAF

iftar perdanaUUM ONLINE: Bulan Ramadan bukan sahaja bulan untuk melakukan amal ibadat dan berpuasa, sebaliknya dituntut melakukan kebaikan dan kebajikan.

Justeru itu, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyumbang sejumlah RM471,600 zakat yang diagihkan kepada golongan asnaf bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, beliau berterima kasih kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah kerana menjadi penyumbang terbesar khususnya untuk Dana Zakat UUM iaitu sebanyak RM 340,445.78 yang digunakan untuk membantu asnaf termasuk pelajar UUM.

Menurutnya, sikap membantu orang yang kesusahan ini adalah sifat orang-orang yang beriman kerana setiap orang mempunyai tanggungjawab untuk membantu orang lain yang berada dalam kesusahan.

Begitu juga UUM, katanya, yang tidak pernah mengabaikan tanggungjawab tersebut lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang mulia ini.

“Atas dasar inilah Majlis Iftar Perdana UUM dibuat bagi merealisasikan perkara yang mulia ini dengan memberi bantuan dan sumbangan kepada pihak yang memerlukan.

“Selain penyerahan zakat, UUM juga sentiasa prihatin akan kebajikan semua warga universiti sama ada staf mahupun masyarakat setempat,” katanya pada Majlis Iftar Perdana UUM di Masjid Sultan Badlishah, semalam.

Pada majlis itu, serahan zakat disampaikan kepada wakil-wakil kategori asnaf iaitu Rumah Kebajikan Anak Yatim UUM, pelajar UUM (bantuan sara hidup), staf UUM (yuran persekolahan anak), staf UUM (perubatan staf, anak dan anak berstatus OKU) dan komuniti setempat.

Daripada kategori tersebut,  lapan orang adalah anak Yatim dari Rumah Kebajikan Anak Yatim UUM, pelajar UUM (1,539), staf UUM untuk biaya yuran persekolahan (209), staf UUM yang sakit (6), anak staf berstatus OKU (22), anak staf atau pasangan yang sakit mudarat (10) dan komuniti setempat (33) menjadikan keseluruhan penerima seramai 1,827 orang.

Turut disampaikan 60 bakul Ramadan kepada staf UUM, Uniutama Properties Sdn Bhd (UPSB) dan masyarakat setempat terdiri daripada balu yang mempunyai tanggungan anak yatim.

Di samping itu, penyampaian bingkisan Ramadan kepada 100 pelajar dari kategori B40, selain sumbangan baju raya dengan kerjasama Jakel Cawangan Alor Setar kepada 30 penerima iaitu lapan anak yatim dari Rumah Kebajikan Anak Yatim UUM dan 22 pelajar asnaf UUM.

Sebagai tanda prihatin juga, pihak UUM turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada staf di Pusat Kesihatan Universiti, Puan Nurul Syawanie Saidin yang menghidap kanser kelenjar limfoma Hodgkin.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Zakaria Othman dan wakil NNZA Textile Sdn. Bhd. (operator Jakel Trading Sdn. Bhd. Cawangan Alor Setar), Mohd Zamri Anuar.