Alumni    •    Vacancy

UUM HOS AUDIT PENARAFAN SETARA 2022 ZON UTARA

vc hos setaraUUM ONLINE: Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi hos audit Penarafan Bersepadu Institusi Pengajian Tinggi Awam (SETARA) 2022 yang berlangsung selama empat hari mulai hari ini.

Sebanyak lima institusi pengajian tinggi (IPT) terlibat dalam audit tersebut iaitu UUM, Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Albukhary International University (AIU), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan AIMST University.

Ketibaan auditor SETARA yang akan menjalankan proses audit di universiti ini telah disambut Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah di Bilik Mesyuarat Naib Canselor.

Delegasi auditor disertai Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Pembangunan), Jabatan Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Robiah Yunus dan Ketua Auditor, Prof. Ir. Ts Dr. Vinesh Thiruchelvam dari Asia Pacific University.

Pada pertemuan singkat itu, Haim Hilman berkata, penarafan SETARA sangat penting kerana UUM boleh memperbaiki sebarang kelemahan serta mengambil pendekatan strategik bagi meningkatkan prestasi menyeluruh universiti.

Menurutnya, beliau berharap semua pihak terlibat dapat memberikan kerjasama sebaiknya dan universiti juga secara terbuka mengalu-alukan sebarang teguran demi penambahbaikan universiti ini untuk menjadi lebih baik.

UUM akan menjalani audit tersebut pada 3 dan 4 Ogos ini, manakala hari ini audit penarafan dimulakan dengan KUIPs dan AIU, diikuti UniMAP dan AIMST.

SETARA adalah penilaian yang mengukur kemampuan universiti awam di peringkat kecemerlangan negara dan setara dengan penanda aras di peringkat antarabangsa.

Audit SETARA menilai beberapa kriteria antaranya keupayaan pensyarah, kewangan yang kukuh, kualiti pengajaran dan pembelajaran serta hasil penyelidikan dan inovasi.

Objektif SETARA adalah untuk membantu universiti membina asas yang kukuh dalam tiga fungsi utama iaitu pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan melalui penilaian mengikut metrik kriteria.

SETARA hanya menilai universiti yang berusia lima tahun ke atas dan dalam penilaian SETARA, UUM dikategorikan dalam 'mature university' bagi kategori universiti melebihi usia 16 tahun.

UUM telah mencapai taraf lima bintang pada SETARA 2017 dan berjaya mengekalkan taraf tersebut bagi tahun 2018/2019.