Alumni    •    Vacancy

UUM GAH DI GUNUNG EVEREST

everestUUM ONLINE: Tanggal 24 Mac 2022 menjadi sejarah baharu kepada Universiti Utara Malaysia (UUM) apabila tiga staf berjaya menakluk Everest Base Camp (EBC) yang berketinggian 5364 meter (m) pada jam 6.11 petang waktu tempatan sekaligus mengibarkan bendera universiti ini.

Mereka ialah Dr. Mohd Raime Ramlan dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), Norzaliza Ghazali dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP) dan Amirudin Hashim dari Jabatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan (BSD).

Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, pendakian menawan EBC di gunung tertinggi dunia itu merupakan Misi Kemanusian UUM-APM Endurance Challenge Sempena Sambutan Ulangtahun UUM KE-38 dan Hari Pertahanan Awam Sedunia Ke-70 yang bermula pada 15 hingga 24 Mac 2022.

Menurutnya, sebagai rakan strategik Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah dan Lions Clubs bagi menjayakan misi tersebut, UUM turut menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) apabila menyumbang 6 unit komputer kepada Shree Manjushreee Basic School di Nepal.

Tambahnya lagi misi ini bertepatan dengan agenda universiti untuk mengukuhkan dan meningkatkan keterlihatan jenama UUM di persada antarabangsa.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada ketiga-tiga pendaki yang telah mengharumkan nama universiti dan berbangga kerana pencapaian ini adalah hasil sokongan dan dorongan semua pihak.

“Kejayaan ini juga satu pengiktirafan kepada UUM dan berharap semangat serta keyakinan yang mereka tonjolkan ini akan diteladani seluruh warga UUM kerana tiada yang mustahil sekiranya ada kemahuan untuk berjaya,” katanya.

Sementara itu, Amirudin berkata, kejayaan mereka di EBC itu merupakan hadiah kepada seluruh warga UUM khususnya Naib Canselor yang telah banyak memberi sokongan, dorongan dan doa kepada mereka bertiga untuk merealisasikan impian tersebut.

Menurutnya, pendakian bersama empat lagi anggota APM itu diiringi sherpa dari Nepal, Sonam Sorna bagi membimbing pendakian mereka.

Katanya, mereka mendaki dari Lukla bermula jam 10.00 pagi waktu tempatan sebelum berhenti seketika bagi menyerahkan komputer untuk program CSR dan kemudian meneruskan pendakian sehingga ke EBC.

“Pendakian selama 7 hari ini memang amat mencabar kerana selain faktor ketinggian, cuaca sejuk yang mencecah 12 darjah Celcius turut memberi cabaran dan agak menyukarkan.

"Namun, kesemua cabaran ini telah memberi pengalaman yang amat berharga untuk dikongsi kepada semua khususnya bagi menyuntik semangat generasi muda.

“Alhamdulillah, kami dapat juga mencapai impian untuk ke Gunung Everest walaupun hanya setakat EBC sahaja kerana ia tetap mencabar dan menguji fizikal dan mental," ujarnya lagi.

Pendakian yang bermula dengan tujuh orang ini berakhir dengan enam orang sahaja kerana salah seorang anggota APM menghadapi masalah oksigen terlalu rendah iaitu 44 peratus (normal 71-75).

Amirudin berkata, bagi mencabar diri, dia bersama pensyarah kanan SLCP, Norzaliza meneruskan pendakian menawan Gunung Kala Patthar setinggi 5,545m dari aras laut bermula jam 6.15 pagi waktu Malaysia dan tiba di puncak pada jam 8.30 pagi.

Menurutnya, kedua mereka turun semula ke EBC sekitar jam 10.25 pagi tadi.

Pasukan pendaki ini akan kembali ke tanah air pada 29 Mac selepas turun ke Lukla semula yang mengambil masa selama empat hari.