Alumni    •    Vacancy

UUM BAKAL TERIMA PELAJAR ROMANIA

romaniaUUM ONLINE: Universiti Utara Malaysia (UUM) bakal menerima pelajar tajaan kerajaan Romania menjelang 2023 yang secara tidak langsung akan meningkatkan bilangan pelajar antarabangsa di universiti ini.

Perkara tersebut telah dimaklumkan ketika kunjungan hormat delegasi Kedutaan Romania ke Malaysia ke atas Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah menerusi Webex, baru-baru ini.

Delegasi tersebut telah diketuai Duta Romania, Nineta Barbulescu bersama Kaunselor, Bogdan Nedea.

Dalam perbincangan itu, Duta Romania telah bersetuju untuk menghubungkan universiti-universiti terbaik di Romania agar menjalin kerjasama dengan UUM termasuk kerjasama dalam bentuk pertukaran pelajar yang menjadi satu keutamaan.

Malah, beliau juga berhasrat untuk melawat UUM bagi melihat sendiri kampus ini yang menyediakan fasiliti kondusif untuk semua pelajar.

Pada pertemuan itu, Naib Canselor telah menjemput Barbulescu untuk menyampaikan syarahan kepada warga UUM.

Selain itu, beliau turut mengalukan peluang kerjasama antara UUM dengan universiti di Romania dalam pelbagai bidang akademik seperti penyelidikan, pertukaran staf dan pelajar serta penganjuran bersama persidangan.

Turut serta dalam perbincangan ini ialah Pengarah Pusat Hal Ehwal dan Kerjasama Antarabangsa (CIAC), Prof. Madya Dr. Arpah Abu; Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RIMC), Prof. Madya Dr. Nor Idayu Mahat; Pengarah Pusat Kerjasama Universitu-Industri (CUIC), Prof. Madya Dr. Siti Zubaidah Othman dan pegawai-pegawai kanan universiti.