Alumni    •    Vacancy

UNIVERSITI PERLU ADA 'NICHE' SENDIRI LAHIR PELAJAR LUAR BIASA

mqaUUM ONLINE: Universiti di negara ini disarankan agar mempunyai 'niche' sendiri dalam usaha melahirkan pelajar yang luar biasa.

Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pelajar sekarang akan memilih universiti yang boleh memberi jaminan kepada mereka untuk mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.

Menurutnya, tidak guna jika universiti tersebut berada di kedudukan Top 10 di dunia sekalipun tetapi tahap kebolehpasaran graduan masih rendah.

Sehubungan itu, katanya, setiap universiti perlu tahu dan memiliki 'niche' tertentu dan berusaha mencari inisiatif untuk melahirkan pelajar yang luar biasa misalnya menguasai banyak bahasa dan kemahiran agar mereka menjadi pilihan majikan kelak.

"Bagi tujuan itu juga, MQA telah menetapkan agenda untuk menjadi hab pendidikan global bagi menarik sekurang-kurangnya 250,000 pelajar antarabangsa datang ke Malaysia.

"Sekiranya kita hanya mempamerkan atau menjual elemen berkaitan program pengajian semata-mata, agenda itu tidak mungkin akan dicapai," katanya pada Majlis Penyerahan Sijil Accreditation of Prior Experiential Learning (APEL) kepada Universiti Utara Malaysia sempena Program Sesi Jelajah MQA@IPT di Bilik Mesyuarat Senat, pagi tadi.

Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar berkata, UUM hari ini menerima sijil APEL yang membolehkan universiti menerima calon pelajar yang mempunyai pengalaman bekerja tetapi tidak mempunyai kelayakan akademik untuk menyambung pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi.

Secara umum, menurutnya, penilaian APEL melibatkan penilaian pengetahuan yang diperoleh seseorang melalui pendidikan formal (kelayakan akademik), tidak formal (pengalaman kerja) dan tidak formal (kursus pendek).

Katanya, beliau berharap UUM dapat menjadi pusat APEL di zon utara selepas menerima sijil APEL itu, seterusnya APEL C dan APEL Q.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, MQA telah menjadi asas kepada UUM untuk berasa yakin dan berdiri sama tinggi dengan universiti terkemuka dunia.

“MQA mengajar apa makna kualiti dan melangkah setapak demi setapak hingga berada pada kedudukan hari ini. Kita menggunakan segala proses jaminan kualiti yang telah dididik oleh MQA kepada pensyarah serta mencuba sedaya upaya sehingga menjadi antara beberapa universiti di dunia yang mendapat akreditasi Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB) dan berjaya memperoleh akreditasi Association of MBAs (AMBA).

“Semua ini tidak mungkin diperoleh jika tidak dibimbing oleh MQA. Segala usaha yang dilakukan MQA bukan hanya mengangkat pendidikan tinggi negara tetapi membangunkan modal insan dalam kalangan ahli akademik yang menjadi antara insan komited dalam memastikan kualiti pendidikan negara terjamin," katanya.

Beliau berterima kasih pada MQA kerana menyampaikan sijil APEL itu yang disifatkan sebagai satu penghormatan kepada UUM.

Menurutnya, beliau berharap pengiktirafan itu dapat menjadi pemangkin kepada usaha UUM dalam menyokong hasrat kerajaan untuk menjadikan pembelajaran sepanjang hayat sebagai salah satu komponen dalam pembangunan sumber manusia di Malaysia.

MQA@IPT merupakan program turun padang MQA ke universiti-universiti dalam negara mengikut zon bertujuan perkongsian informasi, sekali gus membuka peluang kepada universiti memacu pembangunan dan kecemerlangan akademik pada masa hadapan.