Alumni    •    Vacancy

TUNKU MAHKOTA KEDAH TITAH GUNA TEKNOLOGI HIJAU LEBIH AGRESIF

WhatsApp Image 2022 10 03 at 3.10.20 PMUUM ONLINE: Alor Setar - Tunku Mahkota Kedah, Duli Yang Amat Mulia Dato' Seri DiRaja Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Pro-Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) berharap universiti ini menggalakkan penggunaan teknologi hijau dengan lebih agresif membabitkan staf dan pelajar universiti ini.

Harapan Duli Yang Amat Mulia itu dizahirkan setelah Duli Yang Amat Mulia perkenan menerima menghadap Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah di Wisma Darulaman, pagi tadi.

Malah, Duli Yang Amat Mulia bertitah agar UUM dapat menggerakkan program kampus lestari, di samping mengurangkan pembakaran terbuka yang menyebabkan pencemaran udara ke persekitaran universiti.

Pada majlis menghadap itu, Naib Canselor telah menyembah maklum beberapa perkara untuk makluman Tunku Mahkota termasuk cadangan tarikh penganjuran Majlis Konvokesyen ke-35 UUM bagi graduan tahun 2022 dan Majlis Konvokesyen ke-36 UUM bagi graduan tahun 2023, selain tarikh penganjuran Majlis Konvokesyen ke-34 UUM bagi graduan tahun 2021.

Dalam perkara ini, Duli Yang Amat Mulia menzahirkan rasa gembira untuk berangkat ke universiti bagi menyempurnakan Majlis Konvokesyen ke-34 UUM yang akan diadakan secara bersemuka sepenuhnya bermula 6 hingga 10 November depan.

Selain itu, Haim Hilman turut memaklumkan perkembangan terkini UUM serta ‘roadmap' UUM di bawah Gagasan Gemilang Akademia dan Admin Holistik (GAGAH) @ Bersama Menjulang Namamu UUM.

Dalam usaha meningkatkan keterlihatan UUM di persada antarabangsa, Naib Canselor telah menyembah maklum tentang program kolaborasi UUM dengan universiti terkemuka luar negara seperti pemeteraian MoU dan MoA serta lawatan kerja beliau ke Australia dan Indonesia.

Haim Hilman turut memaklumkan hasrat universiti untuk mengadakan Program Kembara DiRaja Kedah yang dapat mengeratkan lagi hubungan dua hala antara pihak istana dan rakyat jelata.

Katanya, selain merapatkan hubungan keluarga Diraja Kedah dengan rakyat, tinjauan terhadap pembangunan dalam negeri juga boleh dibuat selain mempromosikan lokasi-lokasi menarik bagi industri pelancongan.

Pelaksanaan program tersebut juga telah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah, Tuanku Canselor UUM.