Alumni    •    Vacancy

TIUP SEMANGAT PELAJAR JADI BERAKHLAK DAN BERILMU

WhatsApp Image 2022 09 21 at 8.43.14 AMUUM ONLINE: “Jadikan pengalaman hidup yang dilalui mendewasakan kita untuk menjadi lebih berjaya,” begitulah nasihat Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah kepada pelajar-pelajar Tingkatan Empat hingga Tingkatan Enam yang hadir pada Program Jom Masuk UUM sempena ‘UUM Membina Kesejahteraan Rakyat’ (MEKAR) 2022 di Dewan Mu’adzam Shah, petang semalam.

Haim Hilman berkata, beliau yakin ramai antara pelajar yang hadir adalah dari latar belakang keluarga kurang berkemampuan, justeru beliau mahu pelajar berjanji pada diri masing-masing untuk keluar dari kepompong kemiskinan itu.

“Berusahalah menjadi pelajar atau anak berakhlak dan berilmu pengetahuan tinggi agar dapat mengangkat keluarga, agama dan bangsa setingginya.

“UUM sebagai gedung ilmu bersedia untuk menjadi tempat mempersiapkan anak-anak ini agar menjadi insan yang berjaya. Jadikan universiti ini sebagai impian untuk melanjutkan pengajian dan UUM akan memberikan perkhidmatan terbaik untuk pelajar mengejar cita-cita,” katanya.

Tambahnya lagi, pertemuan pada hari itu diharapkan menjadi satu sesi untuk diingati dan dikenang bukan kerana dirinya tetapi untuk renungan sebagai satu perjalanan atau perjuangan pelajar di masa hadapan.

Menurut Haim Hilman, beliau ingin meniup semangat pelajar agar tidak berputus asa dengan kehidupan yang dilalui yang mungkin sukar berbanding orang lain.

Pada sesi itu juga, Naib Canselor berkongsi nilai murni seorang pelajar yang menekankan kepada disiplin, menghormati, muhasabah diri, jati diri dan berjiwa besar.

Beliau mengingatkan pelajar agar tidak membuang masa, sebaliknya berusaha bersungguh-sungguh untuk mengubah nasib diri dan keluarga.

Di samping itu juga tidak sesekali melupakan asal usul dan berusaha menjadi yang terbaik dan menjadi anak muda kebanggaan diri sendiri, ibu bapa, orang kampung serta saudara mara, malah sentiasa menyantuni orang lain tanpa mengira siapa.

Kira-kira 4,500 pelajar Tingkatan Empat hingga Enam dari 16 sekolah telah menghadiri program MEKAR  anjuran UUM dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dan Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) Negeri Kedah.

Turut diadakan pameran reruai melibatkan pusat pengajian dan pusat tanggungjawab UUM.