Alumni    •    Vacancy

TERUSKAN PERJUANGAN ARWAH BAPA BERGELAR KAUNSELOR

dirajaUUM ONLINE: Kata-kata dorongan arwah bapa yang tersemat kuat di hati untuk melihat anak bongsu menyambung bakti sebagai kaunselor, penerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Majlis Konvokesyen Ke-33 Universiti Utara Malaysia (UUM), Aisyah Nabila Taifor, 23, tekad meneruskan perjuangan menamatkan apa yang telah dimulakannya selama lima tahun di universiti ini.

Learn to rest, but not to quit. Setiap kali rasa susahnya untuk mengorak langkah, sukarnya untuk meneruskan perjuangan, saya mengingatkan diri agar 'take pause' sebentar dan kenangkan kembali untuk apa saya berada di sini (sewaktu zaman belajar).

"Dengan cara itu, saya tidak berputus asa sebaliknya lebih kuat untuk tamatkan apa yang telah saya mulakan dengan berbekalkan nasihat ayah untuk melihat anaknya berjaya mendorong lagi impian saya menyambung legasi arwah sebagai kaunselor yang memberi sumbangan dan kebaikan kepada masyarakat," kata graduan Sarjana Muda Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) itu.

Anak kelahiran Machang, Kelantan itu menambah, dengan moto 'live life to the fullest' menjadikan kehidupan sebagai pelajar universiti lebih bermakna kerana beliau bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mengaktifkan diri dalam pelbagai aktiviti kokurikulum termasuk persatuan, kemasyarakatan, pengurusan majlis dan organisasi yang disertai.

Menurutnya, tempoh belajar selama 5 tahun di UUM (4 tahun Ijazah Sarjana Muda dan setahun Program Asasi Pengurusan) dilihat satu masa yang panjang, namun hakikatnya ia sangatlah singkat kerana masa beredar begitu pantas tanpa disedari.

"Saya bersyukur meskipun telah kehilangan bapa ketika masih di Tingkatan 4, ibu paling banyak memberikan semangat dan sentiasa mendoakan yang terbaik untuk saya terutama ketika negara dilanda pandemik Covid-19 yang mana saya sedang menjalani latihan industri.

"Ketika itu terlalu banyak ujian dan dugaan, ketidakpastian akan apa yang bakal berlaku sehingga menyebabkan saya hampir menangguhkan semester disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Namun, Alhamdulillah kerana Allah permudahkan dan saya berjaya menamatkan pengajian.

"Saya bersyukur selain mempunyai keluarga, rakan-rakan lain juga saling memberi dorongan dan mengingatkan diri masing-masing bahawa kami semua mampu untuk menghabiskan pengajian di sini. Rakan-rakan dari Kohort 14 antara pendorong terkuat saya," katanya yang baru melaporkan diri sebagai Kauselor di Sekolah Menengah Kebangsaan Zon R1 Wangsa Maju pada awal Mac lalu.

Mengulas lanjut tentang anugerah yang diterimanya itu, Aisyah Nabila berkata, perasaannya bercampur baur iaitu gembira dan sebak kerana tidak menjangkakan sama sekali akan dipilih sebagai penerima anugerah tertinggi universiti itu.

Menurutnya, beliau gembira berjaya memenuhi impian ibu bapanya tetapi perasaan sedih masih menguasai diri kerana arwah bapanya tidak sempat untuk melihat kejayaan yang dikecapinya sekarang.

Katanya, sekiranya arwah bapa masih ada, sudah pasti arwah akan tersenyum bangga melihat anak bongsu daripada tujuh anaknya itu berjaya mengikut jejak langkah menjadi Kaunselor.

"Saya juga berterima kasih juga kepada barisan pensyarah di Pusat Pengajian Pendidikan dan Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial serta staf sokongan pejabat yang banyak membantu saya serta rakan-rakan dalam urusan dalam dan luar UUM.

"Siapalah saya tanpa mereka semua yang banyak membantu membentuk siapa diri saya hari ini. Pastinya, jasa bakti yang diberikan akan saya kenang buat selamanya.

"Sekalung penghargaan juga dirakamkan buat pihak pengurusan UUM kerana telah menyediakan fasiliti yang terbaik sepanjang saya menuntut ilmu di sini. Terima kasih atas peluang yang diberikan," katanya yang menerima anugerah tersebut daripada Naib Canselor di Dewan Mu'adzam Shah pada sesi pertama, semalam.