Alumni    •    Vacancy

TERUJA HAMPIR DUA TAHUN, 4669 PELAJAR KEMBALI KE KAMPUS TERUSKAN PENGAJIAN

pelajar blk kampusUUM ONLINE: Setelah berbulan mengikuti kuliah secara maya dari kampung halaman, kini seramai 4,669 pelajar kembali ke kampus bagi meneruskan pengajian Semester Kedua Sesi 2021/2022 bermula hari ini.

Perasaan teruja kembali ke kampus itu lebih dirasai pelajar yang buat pertama kali menjejakkan kaki ke universiti ini meskipun telah menempuh beberapa semester bergelar pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM).

Pelajar Semester 4, Sarjana Muda Undang-undang, Ainnur Batrisyia Aminurrashid berkata, saat untuk kembali ke kampus adalah dinanti-nantikan setelah menunggu hampir dua tahun.

Menurutnya, dia tidak sabar untuk menghadiri kuliah secara bersemuka dan senantiasa ternantikan pengumuman kerajaan dan juga universiti untuk membenarkan pelajar pulang ke kampus sejak 2020 lagi.

Di samping itu, katanya, dia ingin menikmati momen bergelar pelajar universiti dengan berada di dalam kampus, tambahan pula dia sudah tidak sabar bertemu rakan-rakan dan berdikari menjalani kehidupan sebagai pelajar universiti tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada keluarga.

"Kali pertama menjejakkan kaki ke UUM pada 16 Mac lalu memang mengujakan dan kekecewaan saya tidak dapat datang ke sini pada penghujung 2020 lalu akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akhirnya terubat.

"Sangat beza kehidupan di kampus dan di rumah sendiri. Malah, baru dua minggu di sini saya sudah mempunyai ramai kawan-kawan yang melayan baik seperti keluarga sendiri termasuk Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa (JKPS) Inapan Siswa MISN yang saya diami sekarang," katanya dari Nilai, Negeri Sembilan.

Sementara itu, pelajar Semester 6, Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam, Anis Ammilia Ahmad Jafri berkata, dia memilih untuk pulang ke kampus bagi meneruskan pengajian yang hanya berbaki tiga semester lagi sebelum tamat pengajian dijangka 2023.

Menurutnya, belajar di rumah dan kampus sangat berbeza dari aspek persekitaran, selain pelbagai gangguan dihadapi ketika menghadiri kelas secara maya sewaktu di rumah seperti hal keluarga, kecemasan dan sebagainya.

"Pembahagian tugas ketika belajar di rumah juga agak berbeza berbanding belajar di kampus, jadi ia menimbulkan sedikit masalah tentang pembahagian masa untuk fokus belajar dan fokus masa bersama keluarga.

"Justeru, saya memilih untuk berada di kampus setelah Kementerian Pengajian Tinggi memberikan kebenaran pelajar pulang ke kampus secara fizikal bermula Mac," katanya yang lengkap vaksinasi termasuk pengambilan dos penggalak.

Dekan Hal Ehwal Pelajar, Dr. Kamarul Azman Khamis berkata, sehingga kini seramai 4,669 pelajar lama telah kembali ke kampus secara berperingkat pada 24 hingga 26 Mac lalu mengikut prosedur dan garis panduan yang ditetapkan.

Menurutnya, proses kemasukan pelajar sepanjang tiga hari tersebut berjalan dengan lancar dan mematuhi semua aspek prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19.

Katanya, beliau berharap semua pelajar yang telah berada di kampus akan terus mematuhi arahan dan SOP yang dikeluarkan dari semasa ke semasa demi menjaga keselamatan dan kesihatan diri masing-masing.