Alumni    •    Vacancy

TARAWIH PERTAMA PENUH KAPASITI DI FASA PERALIHAN KE ENDEMIK

tarawihUUM ONLINE: Setelah lebih dua tahun mengharungi pandemik Covid-19, buat pertama kali umat Islam menunaikan solat sunat tarawih di bulan Ramadan secara berjemaah mengikut kapasiti penuh masjid tanpa penjarakan fizikal bermula malam tadi.

Begitu juga di Masjid Sultan Badlishah, Universiti Utara Malaysia (UUM) yang boleh menampung seramai 5,000 jemaah di dewan solat aras atas dan bawah termasuk ruang solat tambahan khas untuk jemaah wanita.

Turut mengimarahkan solat tarawih pertama malam tadi ialah Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah bersama-sama pegawai-pegawai kanan universiti, kakitangan, pelajar dan masyarakat setempat.

Naib Canselor berkata, beliau bersyukur kerana pada tahun ini sekali lagi umat Islam dipertemukan dengan bulan Ramadan iaitu bulan untuk meningkatkan amal ibadah dan dijanjikan dengan pelbagai ganjaran bagi mereka yang sentiasa mencarinya.

Bagaimanapun, menurutnya, dalam mencari keredaan dan keberkatan di bulan mulia ini, semua jemaah yang hadir masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan meskipun negara sudah berada di fasa peralihan ke endemik.

Katanya, beliau juga gembira apabila kali ini dapat berjemaah beramai-ramai dalam keadaan saf dirapatkan, selain berpeluang menunaikan solat tarawih ini bersama staf dan pelajar UUM.

Selesai solat tarawih, Prof. Dr. Haim Hilman telah beramah mesra dengan pelajar yang hadir dan beliau titipkan pesanan kepada semua pelajar berkenaan agar belajar bersungguh-sungguh, sentiasa mendoakan kedua ibu bapa dan mengenang jasa mereka yang telah banyak berkorban demi kesenangan anak-anak.

Sementara itu, Pengarah Pusat Islam, Zar Ei Zakaria berkata, sepanjang menunaikan ibadah solat di masjid itu, semua jemaah perlu memakai pelitup muka, digalakkan membawa sejadah sendiri, mengimbas kod MySejahtera di pintu masuk masjid serta sanitasi tangan sebelum dan selepas solat.

“Alhamdulillah, akhirnya umat Islam dapat menunaikan solat tarawih setelah lebih dua tahun terpaksa solat dalam keadaan penjarakan satu meter antara jemaah, sekali gus membolehkan lebih ramai umat Islam mendirikan solat pada satu masa.

“Saya juga mengalukan semua jemaah untuk mengajak ahli keluarga, sanak saudara dan kawan-kawan untuk memeriahkan Ramadan dengan amalan ibadah dan taubat. Pasti seronok iftar bersama-sama dan ke masjid untuk tarawih tahun ini,” katanya.

Solat sunat tarawih telah diimamkan oleh Sharif Abdus Salam Sharif Saad dari Pusat Islam UUM.