Alumni    •    Vacancy

TAMAN BOTANI JADI PROJEK EDU PELANCONGAN UUM

taman botaniUUM ONLINE: Taman Botani Universiti Utara Malaysia (UUM) berpotensi menjadi salah satu produk edu pelancongan untuk meningkatkan kesedaran menghargai sumber alam semula jadi sekali gus menggamit pelancong. 

Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, kawasan seluas 10 hektar dilihat mampu menjadi pusat rekreasi berkonsepkan alam semula jadi  untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai tumbuh-tumbuhan dan sumber hutan.

Jelasnya, inisiatif ini diambil demi melindungi, memelihara dan memulihara tumbuh-tumbuhan asli yang jarang ditemui, yang semakin terancam dan bernilai tinggi khususnya pokok kebangsaan Malaysia iaitu Merbau.

“Kawasan hutan yang menghijau cukup cantik dan mendamaikan ini kaya dengan pelbagai tumbuhan istimewa yang boleh ditemui seperti 50 spesis pokok palma, 14 spesis buluh, 33 spesis pokok hiasan, empat spesis pokok landskap dan 70 spesis pokok hutan asal selain 43 spesis pokok yang ditanam untuk pengekalan spesis 'ex-situ'.

“Pengunjung boleh melakukan aktiviti santai yang menyihatkan seperti bersiar-siar, bergambar, berjoging selain membeli anak pokok kaktus, berkayak di kolam botani dan bekajar tentang tumbuh-tumbuhan yang boleh menerbitkan rasa cinta terhadap alam,” katanya ketika melawat Taman Botani sempena Program Perhimpunan Bulanan UUM, pagi tadi.

Justeru untuk merealisasikan hasrat ini, kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan perlu dilakukan di samping menyediakan kemudahan riadah serta memaparkan info terhadap pokok yang dipamerkan.

Penolong Pemelihara Hutan, Amran Mahmud berkata, Taman Botani ini dibangunkan bertujuan mengekalkan sumber alam semulajadi di Sintok yang kaya dengan flora dan fauna.

“Taman ini bertindak sebagai pusat pengumpulan spesis tumbuh-tumbuhan untuk pembelajaran, pemeliharaan serta pemuliharaan bagi pembangunan pertanian dan alam sekitar yang lestari.

“Para pelajar juga sering melakukan aktiviti riadah sekitar kawasan taman yang turut dilengkapi kemudahan asas seperti wakaf, trek pejalan kaki dan tandas,” ujarnya.