Alumni    •    Vacancy

SUMBANG SARAN UUM-USM BUKA PELUANG KERJASAMA

sumbang saranUUM ONLINE: Sesi sumbang saran antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan Universiti Sains Malaysia (USM) membuka lembaran baru dalam peluang kerjasama antara kedua institusi tersebut demi pembangunan ummah.

Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, USM merupakan universiti yang banyak mencapai kejayaan cemerlang, justeru UUM ingin belajar, melihat dan mengetahui bagaimana universiti tersebut dapat membimbing UUM yang masih 'muda' ini untuk sama-sama berjaya.

"UUM ingin menjadi sebahagian kisah kejayaan pembangunan ummah dan graduan-graduan cemerlang UUM yang mana 70 peratus daripadanya datang dari keluarga susah.

"Kita ingin membawa anak didik ini dan memastikan mereka dapat mewarisi kehidupan lebih baik. Saya  yakin dan percaya masa depan negara juga akan lebih baik sekiranya kita pada hari ini yang diamanahkan untuk memimpin universiti dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik," katanya pada Sesi Sumbang Saran Naib Canselor dan Delegasi USM Bersama Pengurusan UUM Sempena Kunjungan Hormat USM Ke UUM di Bilik Mesyuarat Senat, hari ini.

Haim Hilman berkata, UUM ingin menawarkan apa jua peluang kerjasama kepada USM dan bersedia bersama menjalankan kolaborasi dalam bidang penyelidikan, penerbitan, pembangunan pelajar, komuniti dan seumpamanya.

Tambah beliau, negara telah melabur berbilion ringgit kepada universiti agar dapat memberikan impak bukan sahaja kepada masyarakat sekitar tetapi seluruh umat di luar sana termasuk mereka yang wajar dibela dan memerlukan bimbingan dua universiti ini.

Katanya, beliau yakin dan percaya, usaha yang dilakukan hari ini banyak membawa perubahan kepada masyarakat luar di sana.

"UUM telah membuka 'chapter' baru dalam konteks kerjasama dengan IPTA dan kita gembira apabila USM sudi berkunjung ke universiti ini dan saya yakin banyak perkara bersama dapat dibangunkan.

"Pertemuan kita pada hari ini juga telah diatur Allah. Semoga kita dapat membina kekuatan yang dimiliki sebagai institusi atau individu dalam mengangkat sesuatu kecil pada pandangan kita menjadi sesuatu yang besar pada pandangan ummah sekiranya bersatu," katanya.

Sementara itu, Naib Canselor USM, Prof. Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, banyak ruang yang boleh diambil untuk menjalinkan kerjasama dengan UUM menerusi pertemuan pada hari ini.

Menurutnya, banyak perkara yang perlu dipelajari memandangkan USM dan UUM berada dalam kapal yang sama, justeru beliau tidak melihat dalam aspek persaingan.

Katanya, UUM telah mendapat pemimpin yang berkaliber dan berbakat, justeru beliau berharap UUM akan terus berkembang di bawah kepimpinan Naib Canselor baharu.

Terdahulu, delegasi USM disambut di Anjung Tamu dan diberikan taklimat Discover UUM oleh Pengurus Anjung Tamu, seterusnya melawat Muzium Pengurusan UUM, U-Assist dan galeri.