Alumni    •    Vacancy

SUKARELAWAN UUM SERTAI PROGRAM DERMA DARAH PERDANA 360 #KELUARGAMALAYSIA

sukarelawan derma darahUUM ONLINE: Alor Setar – Sukarelawan Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai Program Derma Darah Perdana 360 #KeluargaMalaysia anjuran Yayasan Keusahawanan Sosial (YKS) dan Pusat Darah Negara selama empat hari di Alor Star Mall, baru-baru ini.

Pegawai Operasi dan Pengarah Program YKS, Dr. Roslan Basaruddin berkata, program itu bertujuan membantu menambah bekalan darah yang semakin berkurangan terutamanya sepanjang pandemik Covid-19 melanda negara.

Menurutnya, pada masa sama, mereka ingin memberi ruang dan peluang kepada pelajar untuk mendapatkan pendedahan kolaborasi dengan pihak NGO supaya mereka lebih berfikiran terbuka.

Katanya, penglibatan bersama NGO itu juga mampu membantu menerapkan semangat sukarelawan dan kemasyarakatan yang tinggi dalam kalangan pelajar, selain memberi tumpuan kepada akademik.

Beliau juga dibantu oleh Pengarah Pembangunan Modal Insan YKS, Shaiful Akhmar Mohd Noor bagi menjayakan program yang melibatkan kerohanian serta kesihatan mental dan fizikal terhadap komuniti seluruh Malaysia.

Seramai 10 pelajar universiti awam di utara terdiri daripada pelajar UUM, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Sains Malaysia (USM) telah menyertai program tersebut sebagai sukarelawan sepanjang empat hari program berlangsung.

Penglibatan UUM dalam program itu mendapat bimbingan oleh Prof. Dr. Fuziah Shaffie dari Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP).

Sementara itu, wakil pelajar, Mohamad Shahrul Aiman Hassim berkata, program yang dilaksanakan ini perlu diteruskan lagi dengan melibatkan pelajar universiti yang bukan sahaja melahirkan lebih ramai sukarelawan tetapi pada masa sama membantu Pusat Darah Negara.

Di samping itu, katanya, melalui program ini juga dapat meningkatkan semangat kerjasama sesama ahli pasukan dalam melaksanakan tugas yang telah diberikan.

“Penganjuran program itu diharapkan akan memberi kesedaran kepada setiap masyarakat untuk memainkan peranan dan tanggungjawab dalam memastikan ‘Setitik Darah Sejuta Harapan’ dapat direalisasikan dalam membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Program Derma Darah 360 ini turut dianjurkan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Hospital Sultanah Bahiyah.