Alumni    •    Vacancy

SUKARELAWAN ICT MALAYSIA SEBAR LUAS INISIATIF DAN DASAR KERAJAAN

sukarelawan ictUUM ONLINE: Bagi memacu ekonomi digital negara dalam kalangan masyarakat, sukarelawan ICT Malaysia terdiri pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) memainkan peranan penting untuk membantu menyebar luas inisiatif dan dasar kerajaan kepada semua lapisan masyarakat.

Berucap pada Majlis Perasmian Program Libatsama Komuniti IMBRe UUM-Sukarelawan ICT Malaysia (ICE-MIV), Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, kewujudan sulung Sukarelawan ICT Malaysia atau MIV itu akan dapat membantu komuniti membudayakan penggunaan teknologi digital dalam kehidupan mereka dengan memanfaatkan penggunaan teknologi bagi mempertingkatkan kualiti hidup.

Menurutnya, program Sukarelawan ICT Malaysia itu juga adalah selari dengan inisiatif baru dikenali sebagai Malaysia Digital (MD) yang berpandukan kepada tiga prinsip utama iaitu fleksibiliti, ketangkasan dan relevansi.

Katanya, beliau yakin usaha mewujudkan Sukarelawan ICT ini akan memacu lebih banyak program berimpak tinggi dan secara tidak langsung akan memberi impak kepada rakyat negeri Kedah, khususnya.

“Sukarelawan ini akan memainkan peranan untuk bergerak ke seluruh negeri Kedah dan memanfaatkan fasiliti Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDI) bagi meningkatkan penggunaan digital, membantu pemasaran produk dan mengenalpasti isu-isu ICT setempat, selain meningkatkan literasi digital masyarakat setempat.

“Bagi memastikan pelaksanaan program Sukarelawan ICT Malaysia ini lebih berkesan, saya menyarankan agar UUM dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) mewujudkan sebuah platform khusus untuk memberi peluang kepada pelajar agar dapat mengambil bahagian secara berterusan dan memberi maklum balas yang wajar sepanjang program ini,” katanya yang mewakili Menteri Besar Kedah di EDC-UUM, hari ini.

Ku Abdul Rahman turut berharap melalui inisiatif tersebut akan membantu mempercepatkan pendigitalan di seluruh negara, memangkinkan bidang pertumbuhan baharu, meningkatkan penyertaan syarikat teknologi tempatan serta menarik pelaburan berpotensi selaras dengan usaha merealisasikan aspirasi dan sasaran negara dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Malah beliau meminta sukarelawan yang dipilih dapat berkhidmat dengan ikhlas dalam membantu komuniti setempat.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, objektif utama program ICE-MIV ini adalah untuk meningkatkan kadar literasi ICT dalam kalangan komuniti dan juga membantu komuniti meningkatkan penggunaan teknologi ICT selari dengan era ekonomi digital.

Menurutnya, satu kajian di negara ini menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai capaian internet lebih daripada 85 peratus, namun satu realiti pahit adalah tidak semua pelajar yang berkemampuan untuk mendapatkan akses kepada pendidikan digital yang baik.

Hal ini katanya, menyebabkan ‘miskin digital’ berlaku khususnya kepada mereka yang datang dari kawasan luar bandar dan pedalaman yang akan mengakibatkan jurang ‘kemiskinan sebenar’ semakin melebar jika perkara ini tidak ditangani dengan kadar segera.

“Menerusi program ini, sukarelawan berperanan sebagai Duta ICT UUM yang akan turun padang untuk membantu komuniti negeri Kedah di 77 PEDI dikenal pasti.

“Duta-duta ini akan berganding bahu dengan komuniti setempat dibantu oleh wakil SKMM untuk melakukan transformasi digital dalam membangunkan perniagaan komuniti menggunakan platform media sosial,” katanya.

Oleh itu, Haim Hilman berkata ,program ICE-MIV amat penting kepada pelajar  dalam membantu usahawan kecil senior yang berniaga secara kecil-kecilan dalam melakukan pemasaran secara digital dan pada masa sama membolehkan mereka turut belajar selain menunjuk ajar kepada individu lain.

Turut diadakan penyerahan watikah pelantikan sukarelawan kepada 11 wakil Sukarelawan ICT Malaysia yang mewakili 11 daerah di negeri Kedah.