Alumni    •    Vacancy

SUKAN SEA 2023: SAINGAN SENGIT TIDAK HALANG SITI SHAZWANA RAIH PINGAT PERAK

WhatsApp Image 2023 05 13 at 4.19.53 PMUUM ONLINE: Phnom Penh - Siti Shazwana Ajak, pelajar Doktor Falsafah (Pengurusan Awam) dari Universiti Utara Malaysia (UUM) yang mewakili negara ke Sukan SEA 2023 telah menyumbang pingat perak dalam acara pencak silat pada 10 Mei lalu.

Siti Shazwana bertanding dalam kategori Putri D (bawah 60-65 kilogram) telah tewas tipis kepada pesilat dari Indonesia dengan mata 36-38.

Menurutnya, meskipun berasa kecewa kerana misi memburu emas di Sukan SEA 2023 Kemboja tidak kesampaian, namun dia tetap bangga kerana dapat menyumbang pingat perak kepada Malaysia.

“Perlawanan agak sengit menyebabkan saya kehilangan banyak markah pada awal pusingan tetapi saya cuba mengejar sehingga ke babak terakhir di mana pungutan mata begitu dekat dengan pihak lawan.

“Saya akur dengan kekalahan ini tetapi ia tidak bermakna saya telah berputus asa, sebaliknya menjadi pemangkin semangat untuk terus memberikan yang terbaik dalam misi seterusnya iaitu memburu pingat emas di Kejuaraan Pencak Silat Dunia pada tahun hadapan,” katanya.

Untuk kejohanan terdekat yang akan disertai Siti Shazwana adalah pada November depan iaitu Bangkok-Chonburi 2023 Asian Indoor and Martial Arts Games (AIMAG) di Thailand.

Mengulas lanjut tentang pelajarannya, Siti Shazwana berkata, dia mengambil rehat beberapa bulan untuk memberi ruang kepada persiapan menghadapi Sukan SEA Kemboja itu, namun ia tidak menjejaskan masanya sebagai seorang pelajar UUM.

“Saya berterima kasih kepada UUM khususnya Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) serta pengurusan Pusat Sukan yang memberikan sokongan.

Di samping itu, kejayaan yang dikecapinya juga adalah berkat doa dan dorongan ibu bapa yang sentiasa memberikan semangat.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan merakamkan ucapan tahniah kepada Siti Shazwana atas kejayaan tersebut.

“Beliau telah mengharumkan nama Malaysia dan secara tidak langsung nama UUM juga. Tahniah,” katanya.