Alumni    •    Vacancy

SISWA UUM RAYU PATUHI SOP TANGANI COVID-19

Mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) merayu rakyat Malaysia mematuhi nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menangani Pandemik Koronavirus (COVID-29) yang telah menjangkiti 54,946 dalam tempoh setahun termasuk mengorbankan lapan petugas kesihatan termasuk dua doktor pakar.

Baru-baru ini Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba memaklumkan angka di atas sekiranya tidak dikawal maka akan berlaku gelombang ketiga yang lebih ganas dan kritikal.

Oleh itu Presiden Inapan Siswa MISC dan BSN UUM, Ahmad Syafiq Ahmad Hafiz menyarankan semua pihak memainkan peranan dalam pergerakan kendiri terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian jangkitan di negara ini.
Katanya ia bermula dengan diri sendiri manakala kawalan pergerakan kendiriboleh dilakukan dengan tinggal di rumah dan keluar berurusan sekiranya ada keperluan.

"Saya merayu rakyat negara ini sentiasa mematuhi arahan dari masa ke semasa dan tidak menggunakan peluang cuti perayaan sebagai alasan untuk tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP)," katanya lagi.

Dalam pada itu Presiden Inapan Siswa Bank Rakyat UUM, Muhammad Fikri Burhan berkata, pihak KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah menggerakkan usaha untuk mengurangkan serta mengawal jangkitan COVID-19 ini dengan pelbagai cara untuk membendungnya daripada merebak.
Namun dengan sikap masyarakat yang tidak mematuhi dan memandang ringan mengenai wabak COVID-19 ini telah menyebabkan angka jangkitan harian terus melebihi 4000 walaupun negera kini dalam tempoh PKP.

"Saya yakin dengan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ini sekiranya dipatuhi oleh semua penduduk maka angka jangkitan ini boleh menurun," ujarnya ketika dihubungi.

Manakala Presiden Inapan Siswa SME Bank UUM, Muhammad Azzmal Mat Sazali berharap kalangan mahasiswa yang memilih untuk pulang beraya di kampung halaman mereka baru-baru ini juga akan sentiasa terus mematuhi SOP agat tidak dijangkiti COVID-19 ini.

"Sayangilah diri, keluarga, rakan-rakan dan negara kerana sekiranya COVID-19 ini tidak dibendung maka Institusi Pendidikan dan ekonomi akan terjejas," sambungnya lagi.

Oleh itu mahasisa UUM merayu warga kampus dan seluruh penduduk negara ini sentiasa memberi kerjasama dan mematuhi arahan dari masa ke semasa demi kesejahteraan bersama.