Alumni    •    Vacancy

REDAH ASAP DALAM GELAP SELAMATKAN MANGSA

L BOMBAUUM ONLINE: Kebakaran yang berlaku jam 10.00 pagi mengeluarkan asap tebal menyesakkan nafas dan menyukarkan anggota bomba yang terpaksa meredah laluan sempit dan gelap sambil merangkak menyelamatkan mangsa yang terperangkap.     

Ketika mengharungi halangan dalam terowong yang gelap, anggota hanya berpandukan deria sentuhan untuk mengharungi rintangan malah komunikasi agak terbatas apabila mengenakan topeng yang tebal dalam ruangan yang panas dan sukar dijangka. 

Insiden mendebarkan ini hanyalah satu simulasi melibatkan 45 ahli Kor Siswa Bomba Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berlangsung di Breathing Apparatus Training Gallery (BATG) di Balai Bomba dan Penyelamat Padang Besar, Perlis.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat, Abdul Rahman Muhamad Faidulatraf berkongsi pengalaman mendebarkan apabila pertama kali menyertai latihan seumpama ini sepanjang mengambil kursus kokurikulum Briged Bomba di UUM.

“Sebelum ini, saya menganggap latihan ini seperti masuk ke dalam rumah hantu namun jangkaan meleset sebaik sahaja tiba di sini.

“Untuk masuk ke dalam ruangan ini, kami memakai topeng muka dan tangki oksigen. Bila pakai topeng, saya agak cemas kerana penglihatan kabur dan sebaik sahaja memasuki ruangan tersebut, kami tidak dapat melihat apa-apa kerana sangat gelap.

“Ketika mengharungi halangan yang ada, kami hanya berpandukan deria sentuhan untuk mengharungi rintangan malah komunikasi terbatas dengan halangan yang mencabar. 

Bermula dengan berjalan dalam keadaan normal, kemudiannya terpaksa merangkak, jalan itik dan meniarap bagi melengkapkan latihan ini.

“Bahagian yang paling mencabar tentunya ketika memasuki terowong dengan berjalan itik menaiki permukaan mendatar seterusnya meniarap malangnya kami tidak dapat memasuki terowong kerana tersangkut tangki oksigen jadi, kami terpaksa mengheret tangki seberat 30 kilogram dalam keadaan meniarap.

Sementara itu, Pengarah projek, Mohd Adiq Razdiansyah Alias berkata, simulasi dengan kerjasama Pegawai Bomba Dan Penyelamat Jitra, Kedah ini bertujuan untuk mendedahkan salah satu cabang latihan pasukan Bomba dan Penyelamat yang sebenar di samping memupuk nilai kerja berkumpulan, selain unsur kesiapsiagaan setiap ahli dalam menghadapi detik cemas.

BATG merupakan pusat latihan pernafasan untuk pegawai bomba yang menyediakan bilik gelap (tanpa cahaya) dan dilepaskan asap (simulasi kebakaran) di dalamnya serta suasana yang cemas. Aktiviti ini dapat meningkatkan lagi kecekapan peserta dalam keadaan kecemasan.

“Kerjaya mencabar memerlukan latihan berterusan sebagai persediaan kepada anggota dalam menghadapi pelbagai situasi kecemasan serta memantapkan keupayaan mereka dalam menjalankan tugas.

Peserta memerlukan latihan terbaik untuk memahirkan diri apatah lagi pekerjaan yang memerlukan ketahanan mental, kekuatan tenaga dan pengurusan emosi seperti anggota bomba.