Alumni    •    Vacancy

PUSAT ISLAM LAHIR PELAPIS IMAM DAN BILAL

bilal imamUUM ONLINE: Julung kalinya Pusat Islam mengambil inisiatif menganjurkan Kursus Profesionalisma Imam dan Bilal yang berlangsung selama 10 minggu untuk melahirkan imam dan bilal profesional.

Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Ustaz Shahidan Sharkhan Marecan berkata, kursus bermula sejak 1 September dan berakhir 5 November lalu bertujuan membekalkan pelajar dengan ilmu dan kemahiran menjadi imam dan bilal pada masa hadapan.

Menurutnya, mereka turut menjadi tenaga penggerak dan pelapis di surau Inasis dan masjid, sekali gus dapat mengimarahkannya dengan ilmu penuh di dada.

Katanya, Pusat Islam telah merancang untuk merealisasikan kursus tersebut dengan izin Allah dan majlis berjalan lancar mencapai matlamat yang ditetapkan.

"Peserta kursus ini terdiri daripada pelajar yang berkelayakan dan memenuhi syarat seperti pernah menjadi imam dan bilal, mahir membaca al-Quran dan berjaya menghabiskan kursus selama 10 minggu ini.

“Alhamdulillah, pihak Inapan Siswa (INASIS) bermurah hati memberikan peruntukan membiayai yuran pengajian dengan persetujuan pengetua masing-masing,” katanya.

Sementara itu, pelajar Semester 5, Ijazah Sarjana Muda Sains Ekonomi, Abdul Haziq Abd Kongid menyifatkan kursus itu sebagai peluang keemasan dalam memantapkan ilmu dan 'soft skill' yang perlu ada dalam diri seorang pelajar.

Menurutnya, pelbagai ilmu yang ditimba sepanjang kursus itu dan usaha ini secara tidak langsung membuka minat peserta untuk terus mendalami ilmu agama seperti bab Aqidah, fekah, al-Quran dan hafazan, fiqh wanita dan sembahyang sunat.

Katanya, setiap minggu kami akan mendapat ilmu baharu yang menjadikan kursus ini begitu menarik dan sebagai pemimpin pelajar, ilmu agama merupakan satu bonus kerana menjadikan diri seseorang lebih baik dari sebelumnya serta bijak menerajui tampuk kepimpinan organisasi.

“Jika sebelum ini saya sibuk dengan kerja dunia semata-mata terkejar ke sana sini namun, selepas menyertai kursus ini mengajar erti keseimbangan dunia dan akhirat serta kenal erti halal haram, sekali gus mendekatkan diri dengan Pencipta.

“Saya menyambut baik usaha murni Pusat Islam yang amat bertepatan kerana bergelar seorang pelajar bukan sahaja hebat dalam akademik dan kepimpinan, malah hebat juga dengan ilmu kerohanian dalam melahirkan pelajar holistik," katanya.

Peserta telah dipimpin staf Pusat Islam antaranya Ustaz Muhammad Syazwan Menon (Aqidah), Ustaz Mohd Firdaus Ahmat (Fekah), Ustaz Shahidan Sharkhan Marecan (Akhlak & Khutbah), Ustaz Sharif Abdus Salam Sharif Saad (Al Quran dan Tahsin) dan Ustaz Mohd Azhar Ahmad (Azan dan Peranan Bilal).

Selain itu, Ustaz Mohd Yusnaidi Md Sabri (Profesion Imam dan Keperluannya), Ustaz Syahril Fazli Mat Hussain (Sembelihan dan Pengurusan Jenazah), Ustaz Aus Korni Yahaya (Solat Sunat dan Qiamullail), Ustazah Madihah Mohamed Ibrahim (Fiqh Muslimat) dan Ustaz Zar‘ie Zakaria (Masjid dan Dakwah Berkesan).