Alumni    •    Vacancy

PROGRAM IMRAN PTPTN DEKATI PELAJAR DAN KOMUNITI SETEMPAT

ptptn imranUUM ONLINE: Mengambil keberkatan bulan Ramadan, Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah berkongsi rezeki dengan pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan mengedarkan sebanyak 1000 bubur lambuk sempena Program Imarah Ramadan PTPTN (IMRAN) di Pusat Islam, semalam.

Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Program IMRAN Bersama Pelajar IPT/Politeknik itu diteruskan lagi pada tahun ini melibatkan 14 Institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara bermula 15 April hingga 24 April.

Menurutnya, Program IMRAN di UUM ini membabitkan aktiviti menyedia dan mengagihkan bubur lambuk secara bergotong-royong dalam kalangan warga PTPTN, IPT, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), pelajar dan masyarakat setempat.

Katanya, program seumpama ini adalah bukti usaha PTPTN yang sentiasa komited dan prihatin membantu golongan pelajar yang begitu dekat dengan PTPTN serta masyarakat dalam apa jua keadaan.

“Dalam kita mendekati pelajar dan masyarakat, PTPTN ingin mengubah persepsi terhadap peranan dan fungsi PTPTN yang bukan hanya memberikan pinjaman dan mengutip hutang semata-mata malahan meningkatkan imej positif PTPTN dalam kalangan masyarakat menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Di samping itu, saya juga berharap program seumpama ini bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada pelajar tetapi dapat menjalinkan silaturahim antara semua pihak terlibat,” katanya.

Secara purata sebanyak 700 hingga 1,500 bekas bubur lambuk disediakan di setiap IPT/Politeknik dengan jumlah keseluruhan lebih 12,000 bekas bubur lambuk.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Huzaidy Hussain yang mewakili Naib Canselor berkata, beliau berterima kasih kepada pihak PTPTN atas sumbangan bubur lambuk yang julung kali diadakan di UUM dengan kerjasama Bahagian Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar (SSSD), JHEP.

Menurutnya, sebanyak 1000 bubur lambuk diagihkan di UUM yang melibatkan 750 untuk pelajar dan selebihnya adalah untuk edaran staf dan masyarakat setempat.

Katanya, beliau berharap Program IMRAN PTPTN itu akan diteruskan lagi pada masa akan datang dan UUM dipilih untuk projek agihan bubur lambuk tersebut yang secara tidak langsung mendekatkan PTPTN dengan universiti dan pelajar serta komuniti terlibat.

Hadir sama, Ketua Pegawai Kewangan PTPTN, Azhar Ahmad dan Pengarah Pusat Islam, Zar Ei Zakaria.