Alumni    •    Vacancy

PROF. MUSTAFA MANTAN NAIB CANSELOR KEDUA TERIMA GELARAN PROFESOR EMERITUS

emeritusUUM ONLINE: Naib Canselor ke-7 Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dato' Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak merupakan Naib Canselor kedua menerima gelaran Profesor Emeritus sempena Majlis Konvokesyen Ke-33 yang berlangsung selama seminggu mulai hari ini di Dewan Mu'adzam Shah.

Kali pertama gelaran tersebut dianugerahkan kepada Naib Canselor UUM adalah semasa Majlis Konvokesyen ke-7 UUM pada tahun 1994 yang diterima oleh Naib Canselor pertama, Allahyarham Tan Sri Dr. Awang Had Salleh.

Prof. Dato’ Seri Dr. Mohamed Mustafa menerajui UUM pada 2010 sehingga 2018, kemudian dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi pada 2020 bagi tempoh lapan bulan sebelum menamatkan perkhidmatan sebagai Profesor di UUM Kampus Kuala Lumpur dan bersara wajib pada 11 Januari 2021 dengan meninggalkan banyak sumbangan bukan sahaja kepada universiti, malah negara.

Merupakan lulusan Ijazah Doktor Falsafah (Sosiologi Politik) dari University of Leeds dan Ijazah Sarjana (Politik) dari University of York, England, beliau banyak melakukan transformasi dan perubahan ketika menerajui UUM hingga universiti ini berjaya menjadi sebuah universiti bertaraf antarabangsa dan dikenali dengan pelbagai akreditasi berprestij peringkat antarabangsa antaranya seperti AACSB, AMBA dan EPAS.

Selain itu, beliau juga telah menjadikan UUM berjaya merangkul pelbagai penarafan seperti 5 Bintang dalam SETARA dan MyRA, malah UUM juga julung kali disenaraikan dalam UI GreenMetric dan beberapa ranking dunia seperti QS World University Rankings dan Times Higher Education (THE) University Rankings.

Malah, beliau juga mewujudkan Pelan Strategik UUM fasa 1 (2010- 2015) dan Fasa 2 (2016 -2020) dan kini diteruskan oleh kepimpinan terkini dan warga UUM yang telah memasuki Fasa 3 (2021- 2025) bagi memastikan agenda universiti menuju Universiti Pengurusan Terkemuka tercapai.

Jasa dan sumbangan beliau yang besar itu juga turut melayakkannya menerima pengiktirafan antarabangsa seperti CEEMAN Champions Awards 2017 for Institutional Management, dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Pentadbiran Pendidikan oleh Putera Mahkota Thailand, Maha Vajiralongkorn (kini Raja Thailand) dan dilantik menjadi Ahli Badan Profesional (Companionship) ke-86 oleh Chartered Management Institute (CMI), London.

Sebagai rekod, UUM telah menganugerahkan gelaran berpestij tersebut sebanyak tujuh kali kepada ahli akademik yang memberikan sumbangan besar dalam dunia pendidikan khususnya sejak 38 tahun penubuhan universiti ini.

Mengikut Garis Panduan Penggunaan Gelaran Profesor terbitan Majlis Profesor Negara (2014), gelaran Profesor Emeritus dianugerahkan kepada bekas profesor terkemuka yang sudah menamatkan perkhidmatan di sesebuah universiti bergantung kepada ketetapan sesebuah universiti sebagai menghargai sumbangan besar beliau dalam bidang ilmu pengetahuan.

Kriteria lantikan bagi Profesor Emeritus adalah berdasarkan kepada sumbangan, tempoh berkhidmat, rekod perkhidmatan dan reputasi yang bersih. Selain itu, kepimpinan akademik dan penghargaan juga merupakan kriteria lantikan bagi Profesor Emeritus selain penyelidikan, penerbitan, perundingan dan persidangan.