Alumni    •    Vacancy

PERSATUAN ALUMNI BERSAMA KEPIMPINAN UNIVERSITI JULANG NAMA UUM DI PERSADA DUNIA

pauumUUM ONLINE: Ahli Persatuan Alumni Universiti Utara Malaysia (PAUUM) yang kini berjumlah 102,189 orang di seluruh negara diminta untuk bersama-sama kepimpinan universiti memperkasakan UUM ke peringkat lebih tinggi.

Presiden baharu PAUUM, Prof. Dr. Mohd Amy Azhar Mohd Harif berkata, beliau menyeru semua alumni universiti ini untuk mendekati alma mater dalam menyumbang idea dan pandangan dalam pelbagai aspek.

Menurutnya, dalam usaha UUM untuk melonjakkan nama ke persada global, semua pihak perlu memainkan peranan termasuk alumni universiti ini.

"Persatuan Alumni juga memberi jaminan akan mendukung agenda pembaharuan yang dibawa oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah demi kepentingan bersama dan kita yakin UUM akan terus mengorak langkah dan cemerlang di bawah kepimpinan beliau.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada kepimpinan Ahli Majlis Eksekutif PAUUM sebelum ini yang telah berusaha meningkatkan kualiti dan imej PAUUM dan UUM sendiri,” katanya pada Perasmian Mesyuarat Agung Tritahunan (AGM) Kali Ke-14 Tahun 2022 di EDC UUM, baru-baru ini.

Pada mesyuarat itu, beliau yang merupakan Penolong Naib Canselor UUM COB merangkap Pengarah Jabatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan telah dipilih sebagai Presiden baharu menggantikan Dr. Mohd Azlan Yahya.

Sementara itu, Dr. Mohd Azlan berkata, beliau berterima kasih di atas kepercayaan diberikan kepadanya untuk memikul tanggungjawab sebagai Presiden bagi sesi 2018 hingga 2022.

Menurutnya, AGM PAUUM sebelum ini terpaksa ditangguhkan beberapa kali berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Covid-19 melanda negara dan dunia sejak 2020.

"Tahniah juga diucapkan kepada Prof. Dr. Mohd Amy Azhar dan semua Ahli Majlis Eksekutif baharu PAUUM yang telah dilantik bagi sesi 2022-2025. Selamat menjalankan tugas," katanya.