Alumni    •    Vacancy

PENYELIDIK UUM BERJAYA KOMERSIALKAN PRODUK APLIKASI PENGHANTARAN

Dr shahrulUUM ONLINE: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus menghasilkan produk inovasi yang boleh memanfaatkan masyarakat. Terkini, merupakan produk Basic Source Code for Delivery Mobile Apps yang telah berjaya dikomersialkan.

Produk ciptaan pensyarah Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Prof. Madya Dr. Shahrul Azmi Mohd Yusof itu dibangunkan untuk membantu perniagaan penghantaran barangan secara dalam talian.

Shahrul Azmi berkata, sebelum aplikasi tersebut berjaya dikomersialkan, beliau perlu melaksanakan pitching dan rundingan perniagaan dengan syarikat Tut Tut Delivery Sdn Bhd sehingga tercapai persetujuan untuk membeli produk yang dibangunkan itu.

“Saya gembira kerana telah berjaya mengkomersialkan produk Basic Source Code for Delivery Mobile Apps ini kepada syarikat Bumiputera yang beroperasi di Alor Setar.

“Kejayaan saya ini merupakan kejayaan bersama SOC terutamanya Penolong Naib Canselor UUM CAS merangkap Dekan SOC yang telah memberi sokongan kepada penyelidik di pusat pengajian dalam pengkomersialan produk ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (ICC), Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Faizal Omar merakamkan ucapan tahniah kepada Shahrul Azmi di atas kejayaan beliau mengkomersialkan produk inovasi tersebut.

Menurutnya, ICC berbangga dengan kejayaan itu kerana produk ini berjaya dikomersialkan secara jualan terus ataupun outright sales yang mana syarikat Tut Tut Delivery Sdn Bhd bersetuju dengan harga yang ditawarkan oleh UUM.

“Kejayaan penyelidik dalam mengkomersialkan produk diharapkan dapat memberi inspirasi kepada warga UUM dalam menghasilkan produk atau servis yang berpotensi untuk dikomersialkan,” katanya.