Alumni    •    Vacancy

PENSYARAH DAN STAF PUSAT PENGAJIAN SAMA-SAMA BANTU KEJAYAAN

pingat canselorUUM ONLINE: Tanpa mengenal erti jemu atau penat lelah membantu, pensyarah dan staf di Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) menjadi antara faktor kejayaan graduan Sarjana Muda Perakaunan, Tan Mei Ting, 26, sehingga berjaya merangkul Anugerah Emas Canselor.

Anak kelahiran Sungai Petani itu menerima anugerah tersebut daripada Naib Canselor pada Majlis Konvokesyen Ke-33 Universiti Utara Malaysia (UUM), pagi tadi.

Mei Ting berkata, sepanjang empat tahun pengajian di UUM, beliau banyak dibantu oleh pensyarah-pensyarah dan staf pentadbiran yang sanggup membantu bukan sahaja dalam pelajaran, malah ketika menganjurkan aktiviti pelajar.

Menurutnya, beliau mengambil peluang diberikan untuk belajar perkara-perkara baharu dan ini adalah sebab kenapa perlunnya menyambung pengajian sehingga ke peringkat tinggi.

"Selain itu, sudah pasti tidak dilupakan kepada kedua ibu bapa saya iaitu Tan Hock Aun, 71, dan Ng Soay Nyah, 65, yang merupakan tulang belakang saya selama ini. Mereka telah mendorong saya terus belajar bersungguh-sungguh.

"Saya ingin membanggakan mereka dengan pencapaian ini, justeru saya selalu memastikan dapat mengekalkan keputusan peperiksaan yang memuaskan sepanjang 4 tahun ini. Akhirnya, pengorbanan selama ini berbaloi dengan kejayaan menerima anugerah utama universiti," kata anak ketiga daripada empat beradik itu.

Untuk meluaskan pengalaman sebagai pelajar universiti juga, Mei Ting turut menyertai Jawatankuasa Kepimpinan dan Pembangunan Siswa (JKPS) di inapan siswa apabila beliau mempunyai lebih banyak peluang untuk mengenal ramai orang dan secara tidak langsung melatihnya untuk menguruskan sebarang penganjuran aktiviti.

Turut terkesan akibat penularan pandemik Covid-19, anak bekas pemandu lori itu berkata, beliau hanya sempat menjalani latihan industri di syarikat selama satu bulan sahaja sebelum pelaksanaan arahan bekerja dari rumah (WFH).

Meskipun bekerja dari rumah, beliau bersyukur dan berterima kasih kepada rakan sekerja yang yang sudi meluangkan masa untuk mengajarnya tentang selok-belok bidang tugasnya di sana.

Mei Ting yang kini bekerja sebagai Pegawai Akaun Belum Terima di ibu pejabat OPPO di Selangor sekali lagi berterima kasih kepada semua pensyarah dan staf di TISSA-UUM yang telah banyak memberi tunjuk ajar dan membimbingnya untuk menyempurnakan pengajian selama 4 tahun ini termasuk semua rakan atas kesudian membantu dan memberikan nasihat yang berguna kepadanya.