Alumni    •    Vacancy

PENGIKTIRAFAN ANTARABANGSA TARIKAN PELAJAR PILIH UUM

THE TrofiUUM ONLINE: Anugerah berprestij dilihat sebagai salah satu faktor yang menarik kemasukan pelajar antarabangsa dalam universiti tempatan dan meningkatkan kolaborasi luar negara sekali gus menjana ekonomi.

Misalnya, kejayaan UUM dalam merangkul anugerah Times Higher Education (THE) Awards Asia 2021 bagi kategori THE DataPoints Improved Performance Awards yang diumumkan pada THE Awards Asia ke-3 pada tahun lalu.

Bukan calang-calang universiti yang menjadi saingan untuk meraih pengiktirafan di Asia ini yang berjaya diketepikan UUM iaitu Central South University (China), Imam Abdulrahman Bin Faisal University (Saudi Arabia), University of Jordan (Jordan), Kansai Medical University (Japan), Kwansei Gakuin University (Japan) dan Thapar Institute of Engineering and Technology (India).

Pengarah Bahagian Perancangan Korporat (BPK), Prof. Madya Dr. Mazni Omar berkata, anugerah yang menjulang nama UUM itu merupakan bukti komitmen universiti dalam program pengantarabangsaan, di samping menjadikan UUM lebih dikenali di peringkat Asia dan secara tidak langsung menjadi faktor utama kemasukan pelajar luar negara untuk melanjutkan pengajian di UUM.

Menurutnya, pakar data THE memilih UUM berdasarkan kepada program pengantarabangsaan universiti yang banyak membantu UUM meningkat dalam ranking dunia selari dengan hasrat kerajaan Malaysia dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pengajian Tinggi) untuk menjadikan Malaysia sebagai hub pendidikan tinggi ASEAN.

Katanya, seiring dengan visi menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan antarabangsa, anugerah tersebut membolehkan UUM memperkukuhkan kedudukan khususnya dalam penjenamaan universiti di peringkat antarabangsa.

“Kejayaan ini membantu proses pengantarabangsaan dengan usaha universiti untuk meningkatkan lagi bilangan pelajar asing untuk datang belajar di Malaysia khususnya di UUM, di samping peluang  kerjasama dalam penyelidikan selaras dengah hasrat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang mensasarkan agar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia menjadi rujukan dan tumpuan global.

“Selain itu, kita juga menggalakkan program kerjasama antarabangsa misalnya pertukaran staf akademik, kerjasama dalam penyelidikan serta memperbanyakkan lagi kolaborasi kajian di antara universiti tempatan dengan universiti di luar negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pendaftar, BPK, Muhamed Nor Azman Nordin berkata, setiap tahun universiti di seluruh dunia akan menghantar data ke THE DataPoints bagi tujuan penarafan ranking.

Menurutnya, beberapa universiti Asia telah menunjukkan peningkatan dalam rankings dunia sehingga berada dalam kalangan 50 universiti terbaik dunia.

Walau bagaimanapun, katanya, pakar data yang dilantik oleh THE telah melihat bahawa terdapat perkembangan pesat dalam kalangan universiti-universiti lain di Asia, bukan semata-mata kedudukan di dalam rankings.

"THE Awards Asia merupakan sebuah anugerah antarabangsa yang mengiktiraf kecemerlangan prestasi IPT dalam pelbagai aspek yang merupakan kesinambungan daripada THE Awards iaitu acara anugerah pendidikan tinggi berprestij di United Kingdom.

“Anugerah berprestij yang disifatkan sebagai 'Oscars of Higher Education' itu adalah platform di peringkat antarabangsa untuk mengiktiraf prestasi kepimpinan dan institusi pendidikan tinggi yang cemerlang di seluruh benua,” katanya.