Alumni    •    Vacancy

PELAJAR UUM RAIH PINGAT PERAK DI SUKAN SEA 2021

sukan seaUUM ONLINE: Pelajar program Doktor Falsafah (PhD) Pengurusan Awam, Siti Shazwana Ajak berjaya mengharumkan nama negara, sekali gus Universiti Utara Malaysia (UUM) di atas kejayaan merangkul pingat perak pada Sukan SEA Ke-31 Hanoi di Vietnam, semalam.

Atlet silat olahraga Malaysia itu merangkul pingat perak untuk kontinjen negara bagi kategori Putri Kelas E (65–70 kilogram).

Siti Shazwana berkata, beliau gembira kerana dapat menghadiahkan pingat kepada Malaysia, UUM dan Kuala Lumpur tempat kelahirannya dalam kejohanan yang berlangsung sejak 12 hingga 23 Mei itu.

Menurutnya, meskipun gembira di atas kemenangan itu tetapi masih berasa sedih kerana tidak dapat membawa pulang pingat emas kali ini berbanding edisi lalu beliau mendapat pingat emas tetapi bagi kategori berbeza.

"Alhamdulillah, dengan izin Allah saya dapat menyertai Sukan SEA kali ini walaupun dalam kategori berbeza tetapi tetap dapat beraksi sehingga ke pentas akhir.

"Kejayaan ini tidak akan berhasil tanpa sokongan dan peluang yang diberikan khususnya PESAKA Malaysia memberi peluang untuk saya beraksi di kategori E (65-70kg). Terima kasih juga kepada semua jurulatih, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara dan juga UUM terutama Pusat Sukan yang membantu sepanjang persiapan saya ke Sukan SEA ini," katanya yang turut tidak melupakan ibu bapa dan ahli keluarganya.

Bercerita lanjut tentang persiapan dan cabaran, Siti Shazwana berkata, sebelum ke Sukan SEA Hanoi, beliau telah positif Covid-19 sehingga menghalangnya menyertai sukan percubaan pada Februari lalu.

Selain itu, bagi menyertai kategori baharu itu, beliau perlu menaikkan berat badan sehingga 65 kilogram dan cabarannya bermula untuk mengekalkan berat badan tersebut.

"Mudah untuk naik berat badan tetapi sukar untuk kekalkan kerana setiap kali menjalani latihan, berat badan saya akan menyusut atau berkurang. Namun, alhamdulillah semuanya berjalan lancar dengan disiplin yang tinggi dan sokongan diterima," katanya.

Sejurus kembali ke tanah air hari ini, Siti Shazwana akan memfokuskan latihannya untuk menyertai Kejohanan Dunia di Melaka pada Julai depan, justeru beliau akan mempersiapkan diri dengan memperbaiki kekurangannya.

Dalam aksi pertama menentang pesilat dari Indonesia, Siti Shazwana telah menerima pujian pelbagai pihak apabila berlaku kejadian tudung pihak lawan tertanggal semasa perlawanan dan Siti Shazwana secara spontan telah bertindak melindungi aurat pesilat berkenaan dan membolehkan pesilat tersebut membetulkan semula tudung yang dipakai sebelum meneruskan perlawanan.    

Pada perlawanan akhir, Siti Shazwana akhirnya terpaksa akur dengan merangkul pingat perak apabila tewas kepada pesilat daripada negara jiran, Singapura, Nurul Suhaila Mohamed Saiful.

Pada edisi lalu, Siti Shazwana merupakan pemenang pingat emas bagi Kategori Putri Kelas D, namun pada edisi Sukan SEA 2021 ini kategori Putri Kelas D tidak dipertandingkan.