Alumni    •    Vacancy

PELAJAR UUM PULANG MENGUNDI TUNAI TANGGUNGJAWAB

WhatsApp Image 2022 11 21 at 3.36.41 PMUUM ONLINE: Hari ini, 249 pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berasal dari Perak pulang ke kampung halaman menaiki lapan buah bas percuma yang diselaras Kelab Patriot Chapter Perak UUM untuk memastikan mereka dapat menunaikan tanggungjawab untuk mengundi buat kali pertama.

Mereka merupakan antara 21 juta pengundi berdaftar bakal menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan berlangsung pada 19 November ini.

Bagi pelajar Sarjana Muda Perakaunan, Muhammad Iqmal Qamil Mawar, beliau berasa teruja kerana akan membuang undi buat kali pertama dalam PRU15 ini.

Perasaan ini turut dikongsi pelajar Sarjana Muda Sains (Statistik Industri), Chan Wen Hui yang telah menunggu bersama rakan-rakan seawal 7.30 pagi untuk pulang ke kampung halaman di Teluk Intan, Perak.

“Saya berasa gembira sebab sudah lama tak balik kampung untuk berjumpa ibu bapa dan keluarga tersayang. Menariknya kali ini saya akan mengundi buat pertama kali untuk menjalankan tanggungjawab saya sebagai seorang warganegara.

“Pada pilihan raya kali ini, saya  ingin memilih kerajaan yang bertanggungjawab dan bijak dalam mentadbir negara dan yang penting memenuhi aspirasi, dan apa yang rakyat perlukan,” katanya.

Manakala pelajar Sarjana Muda Perakaunan, Nur Qistina Aqilah berkata, bertekad untuk memanfaatkan peluang ini untuk turun mengundi selain meluangkan masa bersama keluarga sempena cuti semester sehingga 26 November ini.

“Pastinya saya memilih pemimpin yang bersih, berintegriti, boleh berkhidmat untuk rakyat dan bukannya membuat sesuatu untuk kepentingan diri,” katanya.

Beliau turut menyambut baik tindakan kerajaan yang menukar polisi pengundian dalam pilihan raya daripada umur 21 kepada 18 tahun bagi memilih dalam PRU kali ini.

“Pada saya, undi 18 tahun amat bagus sebab suara orang muda dapat didengari dan mahasiswa dapat memainkan peranan dalam memilih kerajaan.

“Saya berharap kerajaan baharu yang akan menerajui negara ini dapat memperkasakan sistem pendidikan dan melaksanakan pemerintahan yang adil kepada rakyat tanpa mengira bangsa,” ujarnya yang pulang ke Ipoh.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berharap setiap pelajar dapat memainkan peranan sebaiknya dalam memilih calon yang benar-benar menepati kriteria selaku pemimpin.

Beliau turut mendoakan agar semua pelajar yang pulang ke kampung dapat tiba dengan selamat di destinasi masing-masing.

Pada PRU15 ini, dijangka 33 ribu pelajar UUM akan melaksanakan amanah buat kali pertama sebagai pengundi apabila Undi18 diwarta dan dikuatkuasakan bermula 15 Disember 2021.