Alumni    •    Vacancy

PELAJAR UUM KONGSI KEMENANGAN RP1.25 JUTA RUPIAH BERSAMA DUA PELAJAR INDONESIA

saniyUUM ONLINE: Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Saniy Samsudin berkongsi kemenangan Rp 1.25 juta rupiah bersama dua pelajar dari Universitas Gadjah Mada, Indonesia selepas diumumkan sebagai pemenang pertama Pertandingan Rancangan Perniagaan 2021 anjuran Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universitas Gadjah Mada, baru-baru ini.

Kejayaan Muhammad Saniy bersama rakan sepasukan iaitu Arzaq Zidan dan Thoriq Ahyar sekali gus melayakkan mereka mengikuti proses 'mentoring' untuk merealisasikan idea perniagaan yang dirancang dan dibentangkan, selain menerima sijil dan wang tunai itu.

Pertandingan yang bertemakan 'Memperkasakan Idea Milenium dalam Inovasi Ekonomi Digital di Era Perindustrian 4.0' itu melibatkan 20 pasukan.

Pelajar Sarjana Muda Kewangan UUM itu kini sedang mengikuti program pertukaran pelajar di bawah program ASEAN International Mobility for Students Program (AIMS Program).

Duta UUM ke Indonesia ini berkata, pasukannya merupakan antara lima pasukan terbaik yang dipilih ke pusingan akhir untuk membentangkan idea perniagaan di hadapan juri dan pelabur dari Indonesia.

Mereka yang mewakili pasukan CoModa itu membentangkan usul perniagaan mereka kepada juri yang terdiri daripada pensyarah dan pelabur antaranya Dr. John Suprihanto (Pensyarah FEB UGM);  Irvandias Sanjaya (Career Specialist, Glints); Gunawan Wibisono (Pensyarah FEB UGM); Susi Harini (CEO dan Founder AADS Group); Saxa Wiza Reyhan (Co-founder Hebe, Co-founder of Mark Group) dan Silvio Adriano (Co-founder Hebe, Strategy dan Planning Manager at Gojek).

Muhammad Saniy berkata, pembentangan idea perniagaan itu menggunakan konsep platform Business to Business (B2B) yang bertindak sebagai penyelesaian sehenti atau hab pengeluaran dengan berfokuskan industri pakaian dan tekstil yang mampu mencipta cara pengurusan pengeluaran yang lebih cekap.

Muhammad Saniy sebelum ini juga pernah memperoleh biasiswa dan dinobatkan sebagai pembentang terbaik di  3rd ASEAN Youth Initiative Empowerment Program (AYIEP) 2021, pembentang kertas kerja terbaik di Persidangan Atas Talian di Asia World Model United Nations Virtual Conference MMXXI, perwakilan Malaysia ke Persidangan Atas Talian Antarabangsa Asia Afrika dan menjadi peserta Axiata Foundation University Leadership Development Programme (ULDP) 2020.