Alumni    •    Vacancy

PELAJAR RUMAH KEBAJIKAN ANAK YATIM UUM KEMBALI MULA PENGGAL BARU

rumah kebajikanUUM ONLINE: Setelah menghabiskan cuti akhir tahun, pelajar Rumah Kebajikan Anak Yatim Universiti Utara Malaysia (UUM) kembali bagi meneruskan sesi persekolahan penggal baru Mac 2022.

Penyelia, Ustaz Aus Korni Yahaya berkata, kebiasaan setiap kali cuti penggal atau cuti perayaan, penghuni rumah kebajikan ini akan pulang ke rumah masing-masing untuk meluangkan masa bersama keluarga.

Menurutnya, berakhirnya cuti penggal pada Februari lalu, kesemua tujuh anak yatim di sini kembali untuk meneruskan sesi persekolahan baru 2022 seperti yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan baru-baru ini.

“Tujuh anak yatim ini berusia 10 hingga 17 tahun termasuk seorang pelajar baru iaitu anak kepada arwah Mohd Soberi yang merupakan staf Jabatan Pembangunan dan Penyenggaraan (JPP) yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 21 Februari lalu.

"Prihatin dengan nasib keluarga arwah, Pusat Islam menawarkan tempat kepada anak lelakinya, Mohd Syahmi Azri berusia10 tahun untuk tinggal di sini bagi meringankan bebanan isterinya, Mashitah Alias yang tinggal di Kampung Kubang Tampang Mukim Lepai Alor Setar," katanya.

Ustaz Aus berkata, dalam usaha mendidik mereka menjadi anak soleh yang berjaya, penghuni di sini harus mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan termasuk prosedur operasi standard (SOP).

Sementara itu, Mohd Syahmi Azri merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Pusat Islam UUM yang menawarkan tempat kepadanya di Rumah Kebajikan Anak Yatim UUM bagi meringankan bebanan keluarga.

Menurutnya, kehilangan bapa pada tahun lalu amat memeritkan apatah lagi kini dia dan tiga adik beradik lain bergantung kepada ibunya sahaja.

Katanya, banyak perkara baharu yang dipelajari dan kini dia dapat menyesuaikan diri dengan mudah kerana dibantu rakan-rakan yang sentiasa menyokong antara satu sama lain.

“Jadual harian disusun dengan penuh disiplin dari bangun tidur seawal 5.30 pagi, sembahyang Subuh berjemaah sebelum bersiap ke sekolah. Pulang dari sekolah kami menguruskan keperluan diri seperti makan minum dan sembahyang Zohor. Tepat jam 3 petang kami mengulangkaji dan aktiviti riadah pada waktu petang.

“Pada malam hari, kami belajar bersama-sama hingga 10 malam. Sudah menjadi amalan sebelum tidur, pelajar membaca surah al-Mulk, zikir, selawat, Asmaul Husna dan doa bagi mendapat rahmat Allah,” tambahnya.