Alumni    •    Vacancy

PELAJAR BPLB RANGKUL JOHAN PIDATO PERINGKAT KEBANGSAAN TIGA KALI BERTURUT-TURUT

bplbUUM ONLINE: Pelajar Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Undang-Undang dan Perniagaan (BPLB), Mohammad Daniel Mohammad Ismail telah mengharumkan nama Universiti Utara Malaysia (UUM) apabila berjaya merangkul gelaran johan pidato peringkat kebangsaan sebanyak tiga kali berturut-turut pada tahun ini.

Mohammad Daniel menzahirkan rasa syukur dan gembira setelah membuktikan bakat yang dimilikinya tidak sia-sia, sekali gus dia berjaya menjulang nama UUM dengan kemenangan itu.

Anak kelahiran Sabak Bernam, Selangor itu merangkul gelaran johan bagi Pertandingan Pidato Perpaduan dengan menerima hadiah wang tunai RM300 dan Pertandingan Pidato Asean 3.0 dengan hadiah wang tunai RM200 yang dianjurkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), manakala johan bagi Pertandingan Pidato Zeroes 3.0 anjuran Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dengan membawa pulang wang tunai RM150.

Berkongsi rahsia kejayaan, Mohammad Daniel berkata, dia sentiasa percaya kejayaan yang dikecapi itu adalah kerana kegagalan yang pernah dilalui sebelum ini.

“Saya faham perasaan apabila gagal menjadi pemenang dan perasaan penat lelah untuk berjaya kerana itulah pengalaman yang pernah saya lalui yang berjaya mendorong diri ini untuk bangkit dan mengejar kejayaan seperti hari ini. Jadikan hebat satu-satunya pilihan yang kita ada sekiranya ingin berjaya.

"Terima kasih kepada ibu bapa terhebat yang saya miliki dan keluarga tersayang yang banyak memberi semangat dan sokongan tanpa henti setiap kali saya menyertai pertandingan pidato ini. Tanpa sokongan dan dorongan mereka terutama ibu bapa yang telah banyak berkorban sejak saya di bangku sekolah lagi,” kata anak tunggal lelaki dari empat beradik itu.

Dalam pada itu, Mohammad Daniel turut merakamkan terima kasih kepada  pihak universiti termasuk Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Dekan dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) yang memberi kepercayaan kepadanya untuk mewakili UUM serta rakan-rakan di atas motivasi diberikan.

Dalam memahat kejayaan, dia turut berbangga dapat mengharumkan nama UUM sebanyak lima kali sebagai naib johan pertandingan pidato peringkat kebangsaan dan antarabangsa sepanjang tahun ini.

Selain itu, Mohammad Daniel yakin dalam usaha memperkasakan strategi Award Recipient Project (A.R.T), UUM Student Excellence and Leadership Center (SELECT), JHEP amat berpotensi untuk membimbing dan memberi aspirasi untuk terus memacu kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dengan lebih berdaya maju.