Alumni    •    Vacancy

PASUKAN SM ENT, TISSA-UUM RANGKUL TEMPAT KETIGA PERTANDINGAN MICPA

MICPAUUM ONLINE: SM ENT dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) telah mengharumkan nama Universiti Utara Malaysia (UUM) apabila berjaya berada di tempat ketiga pada Pertandingan Business Case Challenge (Degree Level) anjuran The Malaysian Institute of Certified Public Accountants (MICPA) sempena MICPA Accountancy Week 2021, baru-baru ini.

Pertandingan tahunan yang disertai pelajar program perakaunan dari universiti awam seluruh Malaysia itu memberi peluang kepada para peserta untuk menonjolkan kemahiran dalam mengupas isu perniagaan, memberi solusi dan membentangkan idea kepada panel juri yang terdiri daripada kalangan pengamal industri.

Pasukan SM ENT telah diwakili oleh Nur Iman Syuhada Saad, Sarah Kamarun Nisham, Nur Hafizah Khairuddin dan Nur Hakimah Khairuddin.

Kejayaan mereka itu membolehkan UUM membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM300 dan juga penajaan biasiswa bagi meneruskan program perakaunan profesional di bawah MICPA.

Sementara itu, Dekan TISSA-UUM, Prof. Madya Dr. Rose Shamsiah Samsudin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pasukan SM ENT di atas kemenangan tersebut dan berharap mereka terus cemerlang dalam pembelajaran dan aktiviti luar kuliah, selain memberikan inspirasi buat pelajar lain hasil kejayaan itu.