Alumni    •    Vacancy

OKU MAHU BERJAYA SAINGI ADIK GENGGAM IJAZAH

okuUUM ONLINE: Tiada istilah mengalah walaupun dilahirkan sebagai orang kurang upaya (OKU) mendorong graduan Sarjana Muda Pengurusan Acara, Muhammad Farid Anuar untuk menamatkan pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM).

"Saya juga mahu berjaya dan membuktikan bahawa saya juga boleh belajar sehingga mendapat segulung ijazah.

"Adik saya, Muhammad Fuad merupakan graduan Sarjana Muda Fizik dan Elektronik dari Universiti Malaysia Sabah, jadi saya juga mahu buktikan saya boleh tandingi dia dan berada di 'level' yang sama dengan dia walaupun saya serba kekurangan," katanya ketika ditemui pada sesi kelima Majlis Konvokesyen Ke-33 UUM, semalam.

Terus berjuang melawan penyakit Cerebral Palsy, iaitu kecacatan otak atau otot yang dideritai, Muhammad Farid tidak pernah menjadikan penyakitnya itu sebagai alasan untuk mencipta kejayaan seperti orang lain.

Berpegang kepada prinsip 'jangan mengalah sebelum berjuang' dan 'usaha tangga kejayaan' mendorong anak kelahiran, Muar, Johor itu memilih UUM untuk melanjutkan pengajian setelah mendapati universiti ini menyediakan fasiliti yang kondusif kepada pelajar OKU dan amalan budaya kecemerlangan ilmiah yang memberi keselesaan kepada golongan sepertinya.

“Saya membawa harapan keluarga, sekali melangkah terus ke hadapan dengan penuh yakin, berani dan paling penting jangan peduli kata orang. Saya utamakan reda ibu bapa sekiranya ingin berjaya di dunia mahupun akhirat.

“Cabaran sebagai pelajar OKU tidak dinafikan terutamanya ketika hendak ke kuliah, perpustakaan, menyiapkan tugasan dan perbincangan dengan rakan-rakan, jadi saya sentiasa menjaga kesihatan dan meletakkan sasaran untuk mencapai impian," katanya yang menghidap penyakit tersebut sejak berusia sembilan bulan.

Sementara itu, graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat, Thendabani a/l Raja mengakui pengalaman melanjutkan pelajaran ke menara gading cukup bermakna yang menjadikannya lebih berilmu dan berkeyakinan menghadapi dunia luar.

Menurutnya, menjadi pelajar 'istimewa' tidak membuatnya lebih istimewa untuk menuntut ilmu kerana dia belajar sama seperti rakan-rakan lain dan turut menyertai program kemasyarakatan yang dianjurkan pusat pengajian.

“Saya gembira kerana berpeluang untuk bersama-sama rakan sekuliah lain yang tidak pernah meninggalkan saya, malah pensyarah juga banyak membantu dalam pelajaran sehingga saya berjaya menamatkan pengajian.

"Terima kasih kepada ibu bapa dan ahli keluarga yang telah banyak memberikan semangat dan dorongan, begitu juga semua pendidik yang bertungkus-lumus mencurahkan ilmu kepadanya dengan penuh sabar dan dedikasi," katanya yang menghidap penyakit gangguan saraf 'dystonia' yang menyebabkan pergerakan otot sukar dikawal.

Kecekalan dua graduan OKU ini turut mendapat perhatian Naib Canselor yang meluangkan masa beramah mesra dan pada masa sama mengucapkan tahniah kepada mereka yang berjaya mendapat ijazah masing-masing.