Alumni    •    Vacancy

NUR NABILAH SELAMAT TIBA, TERUSKAN RAWATAN DI HUKM

nabilah hukmUUM ONLINE: Pelajar tahun akhir Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan, Nur Nabilah Mohd Azahar yang terlibat dalam kemalangan di Curacao, Caribbean pada  Disember tahun lalu telah selamat tiba di tanah air, semalam.

Pesawat yang membawa Nur Nabilah itu telah mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 8 malam.

Ketibaan Nur Nabilah telah disambut Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah bersama Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, pegawai-pegawai kanan dari Wisma Putra dan UUM serta ibu bapanya, Mohd Azahar Zakaria dan Nor Manira Khalib.

Naib Canselor berkata, beliau bersyukur ke hadrat Allah kerana pelajar yang dikasihi, Nur Nabilah telah kembali ke tanah air untuk mendapatkan rawatan susulannya.

Menurutnya, beliau berterima kasih kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), ibu bapa dan keluarga Nur Nabilah serta warga UUM yang telah mendoakannya.

Di samping itu, beliau juga berterima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Luar Negeri dan semua pihak terlibat yang membantu UUM dalam urusan rawatan Nur Nabilah di sana.

“Nur Nabilah akan meneruskan rawatan susulan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (kini dikenali Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM) dan saya berharap dia dan keluarganya kuat dan tabah serta kuat semangat untuk teruskan rawatan ini,” katanya.

Sementara itu, ibu Nur Nabilah, Nor Manira mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu dalam urusan rawatan anaknya di sana khususnya Wisma Putra, Kementerian Pengajian Tinggi dan juga UUM.

“Alhamdulillah akhirnya anak saya berjaya dibawa pulang di atas kerjasama semua pihak terbabit dan saya rasa amat bersyukur kerana dapat melihat anak saya kembali dengan selamat.

“Di samping itu, ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor yang sentiasa berhubung bertanyakan perkembangan Nur Nabilah sehingga kini,” katanya.

Kegembiraan menyambut ketibaan Nur Nabilah turut dikongsikan bersama rakan baiknya, Aiman Qistina Balqis Azman yang dikenali lebih tujuh tahun lalu.

Katanya, dia berasa gembira dan pada masa sama rindu untuk bertemu rakan baiknya itu sehingga sanggup mengambil cuti semata-mata ingin menyambut kepulangan Nur Nabilah atau lebih dikenali sebagai Bella.

“Saya berharap Bella akan menerima ‘positive energy’ dan segera sembuh serta dipermudahkan segala urusannya dengan lancar,” katanya juga pelajar Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan.

Nur Nabilah terlibat dalam kemalangan ketika menjalani latihan industri di Dive Division Curacao, Caribbean bagi tempoh enam bulan di negara tersebut, sejak berlepas ke sana pada September 2021.