Alumni    •    Vacancy

NAIB CANSELOR SELAMI PERMASALAHAN PELAJAR

VC PEMIMPIN PELAJARUUM ONLINE: Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah telah mengadakan sesi perjumpaan bersama pemimpin pelajar di Auditorium Pusat Penginapan Pelajar (SAC), petang tadi.

Haim Hilman berkata, kebajikan pelajar menjadi keutamaan universiti, justeru pada pertemuan itu beliau turut mengajak pegawai-pegawai dari Jabatan Pembangunan dan Penyenggaraan (JPP), Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan juga Jabatan Strategik dan Pembangunan Perniagaan (BSD) untuk ambil maklum dan mengambil tindakan segera terhadap permasalahan yang diutarakan pelajar.

Menurutnya, meskipun isu yang dibangkitkan adalah masalah asas tetapi ia tetap perlu dilihat demi memastikan pelajar berada dalam keadaan selesa dan menikmati kemudahan yang disediakan UUM dengan baik termasuk di Inapan Siswa.

"Saya akan pastikan setiap masalah yang diadukan ini akan diambil tindakan segera dalam tempoh sebulan untuk diselesaikan seperti masalah tandas, lampu jalan, kafeteria dan kebersihan serta lain-lain.

"Saya akan teruskan sesi perjumpaan ini pada setiap bulan agar kita dapat bersama-sama selami masalah yang dilalui dan pada masa sama mencari penyelesaian, seterusnya pihak universiti dapat memperbaiki mutu perkhidmatan," katanya.

Pada sesi itu juga, Haim Hilman turut menzahirkan rasa dukacita di atas kehilangan mendiang pelajar, Vinosiny A/P R Sivakumar.

Menurutnya, pihak universiti terbuka dalam siasatan yang dijalankan dan memberikan komitmen penuh agar kematian mendiang mendapat pembelaan sewajarnya.

Di akhir sesi perjumpaan itu, wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM Sesi 2021/2022 telah menyerahkan kertas cadangan untuk pertimbangan dan kelulusan penggunaan dan pengoperasian masa penuh bagi kemudahan Perpustakaan Sultanah Bahiyah kepada Naib Canselor.