Alumni    •    Vacancy

NAIB CANSELOR SANTUNI PELAJAR BERSAHUR

vc sahurUUM ONLINE: Meskipun sibuk dengan tugasan harian sebagai Naib Canselor, namun ia tidak menghalang Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah meluangkan masa menyantuni pelajar bersahur di beberapa kafateria Inapan Siswa (INASIS), pagi tadi.

Seawal jam 3 pagi, beliau turun padang beramah mesra dengan pelajar di INASIS TM, diikuti INASIS YAB dan seterusnya INASIS MAS dan juga INASIS Bank Rakyat di Bukit Kachi.

Selesai bersahur dan sesi ramah mesra itu, Haim Hilman menunaikan solat Subuh di Masjid Sultan Badlishah bersama-sama pegawai universiti dan pelajar.

Turut mengiringi beliau, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar, Muhammad A'linur Ahlam Abu Bakar.

Sementara itu, Pengetua INASIS Bank Rakyat, Dr. Nor Azura A. Rahman berkata, kunjungan Naib Canselor ke INASIS tersebut untuk bersahur adalah satu pengalaman yang berharga dan manis buat mereka terutamanya pelajar di situ.

Katanya, dia berharap amalan menyantuni pelajar dan staf UUM seperti itu akan diteruskan lagi pada masa hadapan agar dapat mengeratkan lagi hubungan di antara pengurusan tinggi universiti dan pelajar.

Manakala pelajar, Muhammad Amir Syafik Mohd Taufik melihat inisiatif Naib Canselor sanggup meluangkan masa seawal pagi bersama pelajar adalah satu pengalaman manis kerana mereka dapat mendekati dan mengenali beliau dengan lebih dekat.

"Kesibukan beliau tidak menghalang untuk bertemu dengan pelajar-pelajar meskipun hanya ketika waktu bersahur. Kami sebagai pelajar amat menghargai komitmen beliau itu.

"Selain itu, beliau juga sangat rendah diri dan tidak kekok bergaul dengan pelajar walaupun sahur tadi hanya diadakan secara santai. Ini jelas menampakkan kebersamaan dengan pelajar," katanya.

Pengalaman bangun awal pagi untuk bersahur itu turut dikongsi bersama pelajar, Keerthenaa a/p Balakrishnan dari INASIS Bank Rakyat.

Menurutnya, dia teruja untuk turut bersama-sama rakan lain bersahur apabila mengetahui Naib Canselor akan hadir ke INASIS mereka.

Katanya, peluang tidak datang selalu untuk bertemu empat mata dengan beliau, jadi dia gunakan kesempatan tersebut untuk memeriahkan lagi majlis bersahur itu selain menimba pengalaman baru bangun seawal pagi untuk bersahur.