Alumni    •    Vacancy

NAIB CANSELOR BERKONGSI HALA TUJU 2024 UUM DENGAN PERPATI

perpati2UUM ONLINE: Naib Canselor, Prof Dr Mohd Foad Sakdan berkongsi hala tuju Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk tahun 2024 dengan ahli-ahli Persatuan Pegawai Tadbir dan Iktisas UUM (Perpati) di Dewan Pusat Islam, Khamis lalu.

Beliau mengajak semua ahli Perpati untuk menghayati tiga objektif penubuhan UUM yang tidak berubah sejak dulu hingga kini kerana hala tuju universiti berasaskan objektif berkenaan yang diterjemahkan melalui enam pelan strategik utama.

Enam pelan strategik itu ialah kecemerlangan akademik, kelestarian kewangan, kecemerlangan penyelidikan, kelestarian komuniti dan industri, graduan holistik dan kecemerlangan perkhidmatan.

“Saya ingin mengajak warga Perpati untuk bekerja dalam ekosistem yang harmoni dan  tidak bekerja dalam silo untuk memungkinkan tercapainya objektif universiti yang digariskan melalui pelan strategik,” katanya dalam majlis yang turut dihadiri oleh Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah dan Timbalan Presiden Perpati, Abdul Rahman Isa.

Dr. Mohd Foad berkata,  untuk mencapai strategi kecemerlangan akademik bagi objektif untuk pendidikan pengurusan, UUM akan berusaha memastikan mendapat kedudukan nombor satu dalam Top Business School di Malaysia.

“College of Business dan Othman Yeop Abdullah Graduate School kita mempunyai kekuatan tersendiri yang boleh mengatasi kekuatan Putra Graduate School UPM atau pusat pengajian perniagaan lain di negara ini.

“Persediaan perlu dilakukan sebelum KPT membuat pengumuman ini pada penghujung 2024,” katanya.

Naib Canselor berkata, dalam memastikan kemampanan kewangan, universiti akan meningkatkan lagi sumbangan zakat/ wakaf/ endowment dengan menyasarkan RM10 juta untuk endownmen baru. 

pati3“Penambahan bilangan pelajar pascasiswazah juga akan menambah perbendaharaan universiti selain meningkatkan lagi elemen penyelidikan dan penerbitan.  Beratus pelajar dari Indonesia akan meulakan pengajian pada tahun 2024 ini melalui kerjasama UUM dengan universiti di bawah tajaan Kementerian Agama Indonesia (Kemenag) dan Universiti Muhamadiyyah Indonesia,” katanya.

Sementara itu, Dr Mohd Foad turut mengajak semua ahli Perpati untuk menyusun balik pakej program yang memungkinkan semua ahli mendapat sarjana dan doktor falsafah (Ph.D), selaras dengan usaha membudayakan falsafah pembelajaran sepanjang hayat.

“Kita selalu menawarkan pakej menarik kepada masyarakat luar seperti pakej pengajian sarjana strategik kepada pihak IPK Perlis, sehingga kebanyakan mereka mudah dinaikkan pangkat kerana mendapat markah 3 merit sebaik sahaja mendapat sarjana,” katanya.

Bercakap mengenai kebajikan staf, beliau turut memaklumkan universiti dalam peringkat akhir menyusun balik bayaran perubatan yang sekarang ini hanya RM500 untuk staf dan ahli keluarga.

“Kita sudah ada formula baru berdasarkan staf bujang dengan yang sudah berkeluarga serta berbeza dengan staf yang pasangannya dalam universiti sama, tertakluk kepada persetujuan pihak Lembaga Pengarah Uniuversiti nanti,” katanya.

Selain itu, untuk bantuan persekolahan MKSK yang syaratnya kita terhad kepada mereka bependapatan kurang RM4,000 untuk seisi rumah diperluaskan kepada yang jumlah pendapatan kurang RM8,000.

“Begitu juga bantuan untuk kemasukan ke institusi pendidikan tinggi yang jika sebelum ini dihadkan kepada mereka yang jumlah pendapatan RM6,000 ke bawah akan diperluaskan kepada mereka yang jumlah pendapatan kurang RM15,000,” katanya.