Alumni    •    Vacancy

MENTERI PENGAJIAN TINGGI DAN NAIB CANSELOR SANTUNI MASYARAKAT PAGOH

VC PagohUUM ONLINE: Johor - Seiring dengan agenda Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam Rangka Tindakan Kesejahteraan Pendidikan Tinggi atau Sejahtera IPT yang diperkenalkan Menteri Pengajian Tinggi pada awal tahun ini, Universiti Utara Malaysia (UUM) selaku wakil universiti zon utara mengambil inisiatif menyertai program KPT Prihatin Keluarga Malaysia@Johor dengan menyantuni komuniti di sekitar Pagoh, Segamat, Sekijang dan Labis.

Dengan tema KPT Prihatin Sejahtera Komuniti, program selama satu hari ini telah membolehkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad yang turut diiringi oleh Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah menyampaikan bakul makanan dan beramah mesra dengan masyarakat di Pagoh.

Prof. Dr. Haim Hilman berkata, program sebegini adalah sangat bermakna kerana ini merupakan peluang untuk warga KPT dan UUM bertemu dengan rakyat di Johor khususnya di Pagoh.

Menurutnya, Program Bakul Makanan itu diharapkan juga dapat diadakan secara berterusan dengan membantu individu yang memerlukan agar dapat meringankan bebanan yang ditanggung mereka.

Pada masa sama, Menteri Pengajian Tinggi dan delegasi UUM turut berkesempatan melawat beberapa rumah penduduk kampung yang uzur seperti Encik Ismadi Ahmad yang menderita penyakit kronik dan Encik Kasman Tahir yang terlantar akibat serangan angin ahmar.

Menurut Husna yang merupakan anak kepada Encik Ismadi, kehadiran Datuk Seri Dr. Noraini bersama warga UUM ke rumahnya sedikit sebanyak membantu menaikkan semangatnya untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi meskipun perlu menjaga bapanya yang sakit.

“Saya berterima kasih di atas keprihatinan Menteri Pengajian Tinggi dan juga UUM yang sudi datang ke rumah saya. Kata-kata semangat dari Menteri sendiri agar saya terus cekal amat bermakna buat saya," katanya.

Di samping memberi bakul makanan, Datuk Seri Dr. Noraini turut menyampaikan penyerahan sumbangan baucar komputer riba dan wang tunai bernilai RM2200 kepada tiga pelajar UUM dari golongan B40.

Mereka merupakan pelajar Semester 3, Sarjana Muda Perakaunan, Nur Arryana Najwa Azman; pelajar Semester 1, Sarjana Muda Kewangan, Sofeey Melisa Noridham dan pelajar Semester 1, Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Antarabangsa, Nurul Nadzirah Jamaludin.

Ketiga-tiga mereka melahirkan rasa teruja dan pada masa sama bersyukur dengan pemberian sumbangan yang disampaikan Menteri Pengajian Tinggi dan juga Naib Canselor itu.

Selain itu, UUM menerusi Pusat Kerjasama Universiti-Industri yang berperanan sebagai hab bagi Jaringan Industri & Komuniti turut mengambil peluang mendekati komuniti sekitar dengan pelaksanaan program ‘outreach’ komuniti.