Alumni    •    Vacancy

MAYANG SARI BISTRO KEMBALI BEROPERASI

mayang sariUUM ONLINE: Atas permintaan ramai, Mayang Sari Bistro sebuah restoran ala-carte yang popular di kalangan warga kampus kini dibuka semula pada bulan ini.

Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, pihaknya sentiasa berusaha melonjakkkan nama baik universiti termasuk menghidupkan kembali Mayang Sari Bistro agar dapat dinikmati seluruh warga kampus.

“Setelah dua tahun ditutup, Mayang Sari Bistro, EDC-UUM kembali berfungsi menjalankan tugasnya.

“Mayang Sari Bistro sebahagian daripada inisiatif kita, inilah bistro kita, kalau kita selalu cerita indahnya, cantiknya tempat orang marilah kita cerita bistro kita dan sentiasa bangga dengan apa yang kita miliki,” ujarnya.

Beliau berpesan supaya EDC-UUM dapat meningkatkan usaha mempromosikan restoran ini bukan sahaja dalam kalangan warga universiti malah kepada masyarakat di luar sana.

“Kita ada 23,000 pelanggan yang berpotensi jadi mulakan dengan kadar bersesuaian dan membuat perbandingan harga dengan kedai sekitar, biarlah harga setara dengan mereka supaya dapat menarik seramai mungkin pelajar, warga kampus dan masyarakat sekitar,” ucapnya di Majlis Pembukaan Semula Mayang Sari Bistro, EDC-UUM, semalam. 

Beliau turut optimis EDC-UUM di bawah kepimpinan Pengurus Operasi, Ahmad Fauzi Zainal Abidin dan kakitangan dapat memberikan komitmen tinggi dengan kesungguhan yang jitu dalam menjayakan hala tuju yang ditetapkan.  

“Saya berharap agar EDC-UUM dapat memberikan keutamaan kepada kualiti makanan yang dipersembahkan, layanan kepada para pelanggan dan harga berpatutan yang memikat pelanggan.

Beliau turut menyeru staf di bidang hospitaliti ini dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua pelanggan.

Mayang Sari Bistro yang mula beroperasi pada 2013 amat popular dalam kalangan kakitangan UUM dan para pelajar bukan sahaja kerana ia restoran yang menyajikan makanan yang berkualiti dengan layanan perkhidmatan yang baik malah menawarkan suasana yang selesa.

Mayang Sari amat sesuai dijadikan tempat mengadakan majlis keraian seperti sambutan hari jadi, sambutan ulang tahun dan majlis apresiasi.

Ianya juga sering dikunjungi oleh masyarakat luar khususnya penduduk di sekitar Sintok dan Changlun untuk membawa ahli keluarga menikmati hidangan sambil bersantai bersama keluarga masing-masing.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut dan tempahan boleh menghubungi EDC-UUM, di talian 04-928 8888.