Alumni    •    Vacancy

MASAK-MASAK GAMIT PENGUNJUNG

sthem masakUUM ONLINE: Resepi warisan asli Kedah yang menghasilkan hidangan memikat selera dengan aromanya yang harum semerbak menggamit pengunjung di Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Kedah.

Begitulah penangan menu istimewa Gulai Kawah Daging Rias Pisang yang dipersembahkan oleh Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Universiti Utara Malaysia (UUM) di Pentas Mini Citarasa, Stadium Darul Aman, baru-baru ini.

Dekan STHEM, Prof. Madya Dr. Kamal Izzuwan Ramli berkata, matlamat utama program demonstrasi masakan ini adalah untuk berkongsi resepi, ilmu masakan tradisional dan masakan barat kepada masyarakat setempat.

Jelasnya, demo masakan ini juga dapat mewar-warkan mengenai produk inovasi yang dicipta oleh pensyarah STHEM sendiri iaitu Norhafizi, Siti Aminah dan Umme Umaimah dengan penghasilan Pes Gulai Kawah Sri Sintok dan Cassia Grandis Brownies.

“Demonstrasi masakan ini boleh dijadikan platform perkongsian ilmu kepada komuniti terutamanya dalam usaha memelihara dan mempromosikan makanan warisan Kedah dengan penghasilan produk inovasi yang mempunyai nilai komersial yang tinggi.

“Pengunjung memberikan respon positif terhadap menu Gulai Kawah Daging Rias Pisang yang menggunakan pes hasil keluaran STHEM, malah pengunjung turut bertanyakan mengenai jualan pes gulai kawah,” katanya.

Sementara itu, pensyarah kulinari, Siti Aminah berkata, teknik memasak turun temurun dengan kombinasi penggunaan teknologi dan tradisional menghasilkan hidangan hebat yang lazat tanpa menghilangkan rasa autentik Gulai Kawah Daging Rias Pisang.   

“Resepi warisan asli Kedah ini menggunakan bahan masakan tempatan seperti rias pisang, serbuk kari daging dan tulang lembu yang mengembalikan nostalgia dulu-dulu 

“Menariknya Gulai Kawah Rias Pisang merupakan menu kejuaraan dalam pertandingan Raja Gulai Kawah pada ‘1st Kedah International Culinary Competition 2019’ (KEDCC’19),” ujarnya. 

Demo kedua menampilkan hidangan pencuci mulut, bronis iaitu manisan sihat hasil produk inovasi ‘Cassia grandis powder’ yang telah memenangi ‘Certificate of Excellence Gold Award’ pada ‘Kedah International Culinary Innovation Competition KEDIEC 2021’.  

Jelas kelihatan pengunjung yang mengerumuni gerai STHEM teruja menyaksikan demo masakan yang dikendalikan pelajar jurusan Hospitaliti, Hazirah dan Jannah.  

Hazirah menimba pengalaman baharu dalam berkongsi ilmu masakan serta berpeluang berinteraksi bersama komuniti yang tekun mendengar serta merakam sesi ini.

“Sambutan daripada pengunjung amat mengalakkan terutama terhadap penggunaan serbuk Cassia grandis dalam pembuatan manisan ‘brownie’ serta menu gulai kawah rias pisang yang menggunakan pes masakan.

“Kemuncaknya ketika sesi cuba rasa serta pemberian sampel makanan yang baru dimasak telah membangkitkan selera pengunjung malah menimbulkan minat untuk membeli pes gulai tersebut.

“Kami teruja berkongsi petua masakan Melayu dan banyak perkara yang ditimba oleh pengunjung semoga acara seumpama ini dapat diteruskan demi memartabatkan makanan warisan kita,” ujarnya.

Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Kedah yang berlangsung selama tiga hari itu menghidangkan pelbagai program menarik yang melibatkan variasi kementerian dan agensi. 

Selain itu, slot Discover UUM mempromosikan UUM ke peringkat domestik dan antarabangsa, fasiliti, tempat menarik Universiti di Rimba Hijau, persembahan kebudayaan oleh artis budaya UUM, Cyntok Bhatik yang menyaksikan pertunjukan fesyen dan produk UUM bersama usahawan tempatan.