Alumni    •    Vacancy

LIMA ATLET GOLF UUM WAKILI MALAYSIA KE WUC 2022 DI ITALI

WhatsApp Image 2022 07 19 at 1.59.36 PMUUM ONLINE: Lima atlet golf dari Akademi Golf Nasional (AGN) Universiti Utara Malaysia (UUM) mewakili negara ke Kejohanan Golf Universiti Dunia (WUC) 2022 FISU yang akan berlangsung dari 20-23 Julai di Royal Park I Roveri, Torino, Itali.

Mereka terdiri daripada empat pelajar Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan (Pengurusan Golf) iaitu Muhammad Farez Mohd Azihan, Charlayne Chong Shin Ling, Nur Maisara Saad dan Valerie Vanessa Langkab serta seorang pelajar Sarjana Muda Komunikasi, Muhammad Ikhmal Basry.

Dalam pertemuan bersama Naib Canselor, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah semalam, beliau berkata, kejohanan sukan golf universiti peringkat dunia yang diadakan dua tahun sekali itu merupakan medan terbaik bagi mereka untuk mengembangkan lagi bakat dalam sukan berkenaan.

“Bermainlah seperti juara, buat yang terbaik dan bawa pulang pingat demi mengharumkan nama Malaysia dan UUM.

“Sebagai wakil negara perlu sematkan di dalam hati bahawa kita bermain untuk menang. Tunjukkan juga yang anak muda UUM memiliki profesionalisme yang tinggi, fokus dan bijak hadapi tekanan kerana itulah pentas untuk melakar kejayaan,” pesannya memberi suntikan semangat kepada atlet berkenaan dalam Sesi Perjumpaan Naib Canselor Bersama Atlet Golf UUM serta Penyerahan Bendera di Bilik Mesyuarat Naib Canselor.

Sementara itu, Muhammad Ikhmal siap siaga menggandakan usaha dari aspek fizikal dan mental kerana bertanding di peringkat antarabangsa yang pastinya memberi saingan sengit. 

“Perasaan saya amat teruja untuk bertanding dengan pemain hebat di seluruh dunia dan lebih bersemangat untuk mewakili Malaysia dan UUM memandangkan persediaan rapi sejak awal tahun telah dibuat dengan mengikut jadual latihan yang disediakan jurulatih berdedikasi, Wan Rosni Wan Chik.

“Sasaran saya semestinya pingat emas buat Malaysia. Saya berharap seluruh warga kampus dapat mendoakan kejayaan buat kami semua,” katanya yang pernah menjuarai kejohanan seperti Malaysia Amateur Closed 2018, Era Sport Hainan Junior Golf Tour 2019, serta merangkul pingat perak di Asean University Games Myanmar 2018 dan Sukma XIX Perak 2018.

Kejohanan yang dihoskan oleh Turin University Sports Center itu menyaksikan empat acara dipertandingkan iaitu acara individu lelaki dan wanita serta berpasukan lelaki dan wanita.

Manakala Pengarah AGNUUM selaku pengurus pasukan, Prof. Madya Dr. Azman Yasin berkata, Malaysia menyasarkan kutipan pingat pada kejohanan kali ini memandangkan pingat terakhir yang dikutip adalah pada kejohanan 2014.

Katanya, pemilihan ke kejohanan terbesar peringkat universiti dunia ini dibuat berdasarkan pencapaian terbaik pemain pada kejohanan golf peringkat kebangsaan dan kejohanan Golf Matchplay IPT yang berlangsung pada 2021 dan terpilih secara merit untuk mewakili Malaysia.

Selain UUM, seorang atlet dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Zia Izzuddeen Abdul Rashid turut terpilih mewakili Malaysia.